Home Artikel PAS Selangor

Sidang Dewan Selangor : Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) Selangor

1166
SHARE

KENYATAAN AKHBAR

PERTANYAAN-PERTANYAAN MULUT DARIPADA
Y.B. TUAN LOH CHEE HENG
(N52 TELOK DATOK)

BAGI SOALAN NO. 80 PADA 10 NOVEMBER 2017.

TABUNG PEMULIHAN PROJEK TERBENGKALAI (TEPAT) SELANGOR

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 20 juta di dalam Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) bagi membantu memulihkan projek terbengkalai di Selangor.

Terdapat 2 projek terbengkalai yang telah dikenalpasti untuk dipulihkan dibawah TEPAT iaitu Projek Pembesaran Kampung Desa Mawar, Kuala Selangor dengan peruntukan berjumlah RM 6,360,000.00 juta dan Projek Pangsapuri Kos Rendah Rimau Indah, Shah Alam berjumlah RM 13 juta.

Sehingga kini, Projek Pembesaran Kampung Desa Mawar sedang dalam proses pemulihan dan dijangka siap pada 28 Mac 2018 dan Projek Pangsapuri Rimau Indah sedang dalam proses kajian pemulihan.

Projek Pangsapuri Rimau Indah didapati memerlukan sekurang-kurangnya RM38 juta untuk dipulihkan. Oleh yang demikian ia telah dikeluarkan dari program TEPAT. Projek ini akan ditender untuk penyelesaian yang mesti mengambil kira kepentingan para pembeli.

Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga Jun 2017 terdapat 105 projek perumahan terbengkalai di Selangor iaitu 96 Projek Perumahan dan 9 Projek Pembesaran Kampung.

Untuk makluman Yang Berhormat, faktor utama yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai tidak dapat diselesaikan adalah disebabkan beberapa faktor seperti berikut :

i) Viabiliti Projek

Projek yang tidak ‘viable’ mengakibatkan sesebuah projek terbengkalai. Keadaan ini berlaku disebabkan di mana sesetengah pemaju tidak menjalankan Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) yang menyeluruh atau kesilapan terhadap kajian kemungkinan yang dijalankan terhadap suatu projek sebelum pelaburan dibuat.

Kesan akibat kesilapan kajian kemungkinan menyebabkan kos infrastruktur meningkat tinggi dan seterusnya peningkatan kos pembinaan yang mendadak sehingga menjejaskan kewangan kontraktor terbabit

Lokasi projek juga merupakan salah satu pertimbangan utama pembeli dalam membeli rumah. Lokasi tidak bersesuaian menyebabkan pasaran terjejas. Ini berpunca daripada kurangnya kajian pasaran dibuat sebelum projek perumahan dimulakan.

Keadaan ini akan menjejaskan kedudukan kewangan atau modal pemaju dalam memajukan projek tersebut. Akhirnya, pemaju berkenaan melepaskan tangan kerana ketidaksanggupan dalam meneruskan projek di samping bebanan kewangan yang ditanggung.

ii) Kurang Pengalaman dan Kedudukan Kewangan yang Tidak Kukuh.

Berdasarkan kepada kes-kes projek terbengkalai di Negeri Selangor terdapat banyak projek terbengkalai dimiliki oleh pemaju yang kurang berpengalaman dan sumber kewangan yang tidak kukuh. Kedudukan kewangan yang lemah menyebabkan pemaju tidak mampu untuk meneruskan projek sekiranya berlaku pertambahan kos dalam masa projek dijalankan.

iii) Pengurusan

Pengurusan yang lemah terutamanya pengurusan kewangan turut menyumbang kepada faktor terbengkalainya sesebuah projek perumahan. Kesilapan dalam pengiraan kos projek akan membebankan dan merugikan pihak pemaju. Contohnya, kos sebenar projek berlipat ganda daripada anggarkan sebelum pelaksanaan projek.

Selain itu, harga jualan unit rumah yang tidak sesuai atau terlalu tinggi akan menyebabkan unit-unit rumah tidak terjual kerana jurang kuasa beli pembeli yang besar.

Selain itu, strategi pemasaran yang lemah juga antara faktor projek perumahan terbengkalai. Keadaan ini disebabkan sumber kewangan yang diperolehi terhad daripada sejumlah kecil pembeli rumah dan ‘bridging loan’ yang membebankan pemaju.

Bagi sesetengah projek perumahan, kesilapan pemilihan kontraktor yang dijalankan secara tender akan menyebabkan projek tersebut terbengkalai dan mengalami kesulitan untuk diteruskan semula.

iv) Agensi Kewangan

Kos pembelian tanah yang tinggi serta faedah ‘bridging loan’ yang meningkat mengikut keadaan ekonomi semasa turut membebankan pemaju-pemaju yang tidak berpengalaman dan tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Tambahan pula, pemaju yang mengalami masalah ‘bridging loan’ lazimnya akan menampung kos projek melalui ‘progress payment’ yang diperolehi dari bank. Sekiranya berlaku masalah ke atas projek yang dibangunkan, pembiayaan akan terhenti dan ini akan mengganggu aliran tunai pemaju.

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan ke atas pemaju bermasalah dengan mendapatkan nama-nama Ahli Lembaga Pengarah tersebut daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenaraihitamkan dan diedarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan turut  dipaparkan dalam laman web Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).

Melalui sistem pendaftaran pemaju (SPEM) di LPHS, pemaju diwajibkan berdaftar sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Kebenaran Merancang diluluskan oleh PBT.

Sekiranya dikenalpasti nama-nama pemaju terlibat telah disenaraihitamkan maka pemaju tersebut tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa pembangunan di Negeri Selangor termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer sahaja di bawah nama syarikat pemaju lain.

Y.B. Dato’ Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
10 November 2017