Home Berita PAS Terengganu

Disiplin tinggi kunci kejayaan atlet Terengganu

133
SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 April – Disiplin diri dan sifat sabar yang tinggi dalam diri setiap atlet Terengganu sama ada di dalam atau di luar gelanggang menjadi kunci kejayaan dalam setiap kejohanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, disiplin itu boleh dilihat dalam bulan Ramadan kerana ia sangat mencabar  bagi setiap atlet dalam menjalani latihan, perlawanan dan sebagainya.

“Namun, ia bukanlah halangan bagi atlet, kita boleh nampak melalui perkongsian panel-panel yang berpengalaman pada hari ini yang sangat memberi inspirasi kepada kita semua.

“Panel-panel terdiri daripada pemain Pasukan Terengganu Football Club (TFC1), Muhammad Rahadi Azli Rahalim, Muhammad Azam Azmi Murad dan Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh.

“Selain itu, bersukan dalam bulan puasa ini juga merupakan cabaran yang luar biasa bagi seseorang atlet untuk menguji diri sekali gus menunaikan tuntutan wajib dalam ajaran Islam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Himpunan Atlet Terengganu sempena Madinah Ramadan bertempat di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu di sini semalam.

Tambah Wan Sukairi, melalui usaha yang luar biasa dapat menjadikan seseorang itu lebih ke depan.

“Setiap atlet perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk berjaya dalam bidang sukan,” jelasnya.

Program yang bermula pada jam 6.00 petang itu berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang meriah oleh peserta-peserta dan pengunjung yang hadir.

Peserta tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas dan Sekolah Sukan Gong Badak.

Program yang menerima kehadiran lebih 1,000 orang itu berakhir pada jam 7.10 petang dan diteruskan dengan majlis berbuka puasa serta solat maghrib berjemaah bersama.