Home Berita PAS Terengganu

Didik Dahulu, Hukum Kemudian – Dr. Khalil

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menegaskan pendekatan pelaksanaan Syariah di negeri ini memberi keutamaan kepada pendidikan dan kefahaman masyarakat, berbanding terus melaksanakan hukuman.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, meskipun peruntukan undang-undang telah wujud termasuk kesalahan meninggalkan solat fardu di bawah Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, fokus utama kerajaan adalah mendidik masyarakat agar memahami tuntutan agama.

“Dalam pelaksanaan Syariah ada dua perkara iaitu pertama melaksanakan hukuman, kedua memberi pendidikan. Kita letakkan pendidikan sebagai keutamaan kerana kadangkala orang meninggalkan ibadat bukan kerana enggan, tetapi kerana tidak tahu atau kurang kefahaman.

“Peraturan memang ada, namun ia tidak semestinya dilaksanakan terus. Kita bergerak seiring dengan usaha pendidikan melalui pelbagai inisiatif, termasuk kempen kesedaran, peringatan, ‘banner’ dan kemudahan yang disediakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pelancaran Hospital Mesra Ibadah di KMI Centre, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut beliau, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan institusi kesihatan bukan sahaja sebagai pusat rawatan.

“Tetapi juga medan pendidikan ibadah dan penghayatan Syariah dalam kehidupan seharian.

“Banyak kemudahan yang disediakan kepada pesakit untuk menunaikan solat walaupun dalam keadaan uzur, termasuk panduan wuduk, tayamum, solat duduk atau berdiri serta menjaga kebersihan diri,” tambah beliau.