SETIU – Satu sesi dialog antara wakil-wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bersama agensi-agensi kerajaan telah berlangsung di Balairaya Kampung Gong Pasir, di sini.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu itu merupakan susulan kepada pertemuan Ahli Parlimen Setiu bersama seluruh JPKK DUN Jabi yang diadakan pada awal Julai lalu.
Antara isu utama yang dibincangkan dalam dialog tersebut ialah masalah lembu liar yang merosakkan tanaman penduduk serta ancaman daripada kera liar.
Menerusi perbincangan itu, wakil-wakil JPKK telah diberi pencerahan berkenaan langkah serta prosedur yang perlu diambil untuk menangani isu tersebut secara berkesan.
Rata-rata wakil menyatakan rasa puas hati terhadap penganjuran program ini kerana memberi kefahaman jelas kepada mereka berhubung tindakan yang boleh diambil.
“Saya mewakili JPKK Kampung Bakap mengucapkan terima kasih kepada YB Parlimen (Shaharizukirnain Abdul Kadir) atas keprihatinan terhadap isu-isu yang melibatkan penduduk kampung,” kata Pengerusi JPKK Bakap Kelubi Putih.
Ahli panel dalam sesi dialog tersebut terdiri daripada Dr. Ahmad Fadhil Mohd Syuaib Asren dan Dr. Nurul Shuhada Nur Samad dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar; Mohd Zaki Mohd Rahim, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan); serta Azhan Mohd Ghani dari Majlis Daerah Besut.
Kerjasama erat antara JPKK dan agensi-agensi kerajaan diharap dapat memberikan manfaat serta penyelesaian yang terbaik kepada masyarakat setempat.