Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 1 Dis – “Dia harap hantar anak dia hari ini esok pandai, itu biasa, expectation ibu bapa yang hantar anak masuk ke sekolah,”.
Demikian kata Ahli Dewan Negeri Beserah, Andansura Rabu ketika merasmikan pembukaan Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) As Sofiyya di Pelindung Beserah, yang merupakan TASTI pertama di DUN Beserah, di sini hari ini.
“Kita perlu mengolah pengharapan ibu bapa ini supaya melahirkan keyakinan bahawa inilah tempat terbaik untuk anak-anak mereka. Keyakinan ini bukan sahaja memberikan kepercayaan kepada ibu bapa, tetapi juga menjadi agen pemasaran terbaik bagi institusi kita,” tambah beliau.
Andansura turut menekankan bahawa kepuasan ibu bapa adalah publisiti terbaik kerana mereka akan berkongsi pengalaman positif dengan rakan dan jiran, sekaligus memberikan promosi secara organik melalui hebahan mulut ke mulut.
“Kualiti perkhidmatan yang cemerlang akan menjadi tanda aras yang baik untuk TASTI membina jenama yang kukuh untuk mengembangkan sayapnya.
“Memang menjadi pengharapan ibu bapa, selain daripada anak mereka dijaga dengan baik dari segi kebersihan, makan minum dan sebagainya, perlu ada satu pengisian hasil daripada penjagaan tersebut.
“Dalam masa yang sama kita pasarkan produk kita yang berbeza dari taska yang lain iaitu untuk membina insan rabbani,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pengarah TASTI Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang Hafsah Omar melahirkan rasa bersyukur dan tahniah kepada TASTI As Sofiyya yang merupakan TASTI ketujuh dalam kawasan Indera Mahkota, manakala enam buah lagi dari DUN Semambu, dua di Rompin dan satu di Temerloh.
Beliau mengharapkan TASTI akan terus berkembang dengan baik, sebagai produk PAS yang mengalunkan bahasa cinta dengan alunan nama-nama Allah sangat memberi kesan dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Manakala Pengusaha TASTI As Sofiyya Amalia Zulkifli berkata, TASTInya akan mula beroperasi pada Januari 2025 dan telah membuka pendaftaran bermula pada hari perasmian tersebut.