Home Berita PAS Terengganu

Di Sebalik Sekatan Royati Tersimpan Rahmat Yang Tidak Terduga

27
SHARE

Siapa sangka, di sebalik sekatan royalti petroleum yang dianggap sebagai suatu kezaliman terhadap rakyat Terengganu, muncul satu lembaran baharu yang bagaikan ‘cahaya di hujung terowong’.

Sekatan ini bukan sahaja memberi tekanan dan cabaran kepada negeri Terengganu, tetapi juga membawa kepada penemuan sumber baru yang sangat bernilai seperti unsur nadir bumi (REE).

Unsur nadir bumi adalah 17 unsur kimia yang merupakan bahagian penting dalam kebanyakan peranti berteknologi tinggi yang diperlukan bagi lebih 200 produk merentasi pelbagai aplikasi.

Walaupun hasil daripada industri REE di Terengganu mungkin belum dapat dirasai pada masa kini, potensi yang ada menjanjikan harapan cerah untuk masa depan.

Penemuan REE ini adalah langkah strategik yang akan membantu negeri ini mengurangkan kebergantungan kepada royalti petroleum dan memberikan manfaat yang signifikan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sebagai penulis, pandangan saya melihat jauh ke depan, kerana REE ternyata telah ditemui di Terengganu, dengan potensi yang besar di kawasan seperti Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 tahun 2023, unjuran potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan kerjasama daripada Academy of Science Malaysia (ASM).

“Kajian yang dilakukan terhadap kawasan tanah luluhawa granit di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

“Ini menunjukkan bahawa kawasan yang berpotensi tersebut mempunyai keluasan 1,437,500 ekar dan dapat menghasilkan sebanyak 7,187,500 juta tan REE,” ujarnya.

Mengapa saya mengaitkan sekatan royalti petroleum dengan penemuan REE? Kerana sekatan ini, telah memberi TEKANAN kepada negeri TERENGGANU sehingga mendorong negeri itu untuk mencari sumber alternatif lain yang bernilai.

Ini menunjukkan bahawa di sebalik setiap cabaran, terdapat peluang baru yang boleh membuka lembaran kejayaan dan kemakmuran yang lebih besar untuk masa depan Terengganu.

Namun terdapat persoalan yang timbul dari saya selaku penulis rencana ini yang tidak mewakili mana-mana pihak !

Sekiranya sekatan royalti petroleum tidak berlaku, adakah kita akan terlepas pandang potensi sumber REE yang tersembunyi di bawah tanah ini dan adakah ada usaha untuk menggali dan memanfaatkan kekayaan ini?

Muhammad Hafizuddin Rosli|Wartawan TRDI