Oleh : Muhammad Abdul Fateh
KUALA LUMPUR, 25 Julai 2025 – Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa rasmi bagi sesi 2025-2027 pada Khamis, 24 Julai 2025 bersamaan 28 Muharram 1447H. Mesyuarat penting ini menyaksikan pembentukan Jawatankuasa Harian dan pelantikan Ahli Jawatankuasa Kerja DPPWP secara rasmi.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pemuda baharu, Azmer Syazwan bin Ahmad Suparmin, yang turut memegang portfolio sebagai Ketua Sektor Politik Anak Muda. Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh saf kepimpinan untuk memperkukuh gerak kerja dan memainkan peranan aktif dalam mendepani cabaran semasa anak muda Wilayah Persekutuan.
Pelantikan barisan kepimpinan kali ini dilihat seimbang dari segi pengalaman, kepakaran, dan aspirasi generasi muda. Antara tokoh utama dalam Jawatankuasa Harian yang turut dilantik ialah:
- Syed Ahmad Fadhli bin Syed Mahmad Hadzari sebagai Timbalan Ketua Pemuda dan Ketua Sektor Sumber Manusia dan Latihan.
- Mohd Fitri bin Othman sebagai Naib Ketua Pemuda dan Ketua Sektor Komunikasi Strategik.
- Mohd Azry bin Omar dilantik sebagai Setiausaha dan Ketua Sektor Pengurusan.
- Muhammad Farid Aideed bin Ishak sebagai Bendahari merangkap Ketua Sektor Kewangan.
- Abdul Razak bin Ramli sebagai Ketua Penerangan, dan
- Ahmad Afiq bin Zulkhaire sebagai Pengarah Pilihan Raya Pemuda.
Jabatan dan lajnah di bawah struktur Jawatankuasa Kerja turut menyaksikan pelantikan pemimpin muda yang bersedia menggalas amanah dakwah dan kebajikan:
Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman dilantik sebagai Pengarah Akademi Tarbiah Pemuda (AKTAR).
- Mohd Daud bin Abd Latiff mengetuai Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM).
- Fahim Muzakkir bin Ismail sebagai Pengarah Jabatan Pembangunan Remaja (JPR).
- Muhamad Nur Azmi bin Yusof sebagai Pengarah Jabatan Sukan, Kebudayaan & Kesenian (DACS).
- Muhammad Hafizuddin bin Muhamed Noor mengetuai Jabatan PASTI, manakala
- Mohammad Azzar bin Ismail menerajui Jabatan SRITI.
Turut dilantik ialah Mohamad Syawal bin Yusof sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Ashraf Rifa’ie bin Azhar sebagai Pengerusi Lajnah Dakwah.
Dengan tertubuhnya saf kepimpinan baharu ini, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berazam untuk terus memperjuangkan suara anak muda, memperkasakan pendidikan dan kebajikan, serta mendepani isu-isu semasa dengan pendekatan yang progresif dan berprinsip.
“Saf ini bukan sekadar struktur, tetapi satu amanah besar untuk mengangkat martabat dakwah, kebajikan, dan keilmuan di kalangan generasi muda kota,” ujar Ketua Pemuda DPPWP, Azmer Syazwan.
DPPWP menyeru seluruh anak muda Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama menyumbang tenaga, idea dan semangat dalam memperjuangkan Malaysia yang lebih berintegriti dan sejahtera berlandaskan Islam.