Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan bantah penganjuran Pertandingan Ratu Cantik Miss World Noble Queen 2023

16
SHARE

  • Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dengan ini membantah sekeras-kerasnya penganjuran Pertandingan Ratu Cantik Miss World Noble Queen 2023 yang dijadualkan akan berlangsung pada 12 Disember ini di ibu negara.

 

  • Sedih, dan tidak terungkap dengan kata- kata ketika mana pembantaian, pembunuhan yang berlaku kepada saudara kita di Palestin, malah banjir yang melanda negara kita, masih wajarkah pertandingan ratu cantik ini dilakukan.
  • Justifikasi yang paling kuat dalam melarang pertandingan ini ialah tubuh wanita tidak sepatutnya menjadi barangan murahan untuk ditontoni oleh semua hanya untuk tujuan mendapat gelaran. Maruah wanita sepatutnya dilindungi dan dipelihara serta dihormati, tetapi dengan penganjuran pertandingan ratu cantik ini merupakan satu acara yang mengeksploitasi kecantikan wanita demi menarik perhatian umum. Secara tidak langsung penganjuran acara ini seolah-olah kita merelakan wanita Malaysia dijadikan objek perhiasan di pentas.

 

  • Sudah tentu ia bertentangan dengan adab masyarakat Islam yang sentiasa membina masyarakat yang berakhlak dan mempunyai adab terpuji. Sesungguhnya kecantikan kurniaan Allah merupakan anugerah yang harus dijaga dan Wanita bukan piala yang diukir dan dipamerkan buat tatapan umum.
  • Firman Allah swt; “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” [Ali Imran: 14].
  • Jelas berdasarkan ayat di atas Islam telah memberi amaran kepada manusia tentang perkara tersebut dimana kalau kita lihat sekarang, dalam dunia yang tiada sempadan ini, bagaimana musuh-musuh Islam mengeksploitasi diri wanita-wanita itu sendiri seperti menggunakan wanita sebagai bahan iklan, untuk menarik pembeli dalam bentuk kelembutan seorang wanita atau juga dijadikan sebagai objek yang seksi dan menawan, malah lebih dashyat lagi dengan penganjuran ratu cantik yang lebih mengakibatkan wanita itu direndah- rendahkan maruahnya yang sepatutnya dipelihara.
  • Jelas kita dapati tiada faedah yang diperolehi melalui penganjuran aktiviti sedemikian. Malahan ia mengundang gejala sosial yang semakin membarah seharusnya kita bendung. Justeru itu, Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan sekali lagi dengan tegas membantah sekeras- kerasnya penganjuran Pertandingan Ratu Cantik tersebut demi kemaslahatan yang lebih besar dan menghormati nilai-nilai Islam kerana majoriti rakyat negara ini adalah beragama Islam dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
Nuridah Binti Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan