Home Berita PAS Wilayah

Dewan Muslimat PAS Bandar Tun Razak buat laporan Polis terhadap Sugarbook

2768
SHARE

14 Februari 2021, Salak Selatan: Dewan Muslimat PAS Bandar Tun Razak (DMPBTR) hari ini telah membuat laporan polis terhadap syarikat aplikasi Sugarbook dan pengasasnya, Darren Chan kerana telah mempromosikan aktiviti pensundalan kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today bertarikh 12 Februari 2021 yang lalu, seramai 12 705 orang pelajar institusi pengajian tinggi di Lembah Klang telah mendaftar menjadi Sugar Baby melalui aplikasi ini.

Hal ini amatlah dikesali kerana ia membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi dan juga melibatkan mahasiswa pelajar Melayu Islam. Sepatutnya sebagai mahasiswa yang berakal dan cerdik pandai, mereka tidak akan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti ini. Juga sebagai seorang Islam sudah semestinya memahami hukum perbuatan mendekati zina seperti terkandung di dalam Al Quran dan hadis.

Justeru itu, DMPBTR mendesak agar aplikasi ini diharamkan dan pengasas syarikat Sugarbook, Darren Chan disiasat dan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan yang berbunyi:

“Barang siapa dengan cara mana-mana pengiklanan atau notis lain yang diterbitkan dengan apa cara atau dipamerkan di mana-mana tempat bagi khidmat persundalan atau bagi khidmat di mana seseorang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan, menawarkan mana-mana orang bagi maksud persundalan atau mencari maklumat bagi maksud tersebut atau menerima iklan-iklan atau notis-notis sedemikian bagi penerbitan atau pameran, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai lima belas tahun dan dengan sebatan, dan hendaklah juga dikenakan denda.”

“Kami berharap satu hukuman yang berat dapat dikenakan kepada mereka yang cuba merosakan pemuda – pemudi kita pada hari ini. Jadilah seperti negara Belgium yang mengenakan tindakan yang tegas dengan mengenakan denda dan memenjarakan mereka serta menyekat terus laman web yang mempromosikan aktiviti persundalan kepada rakyatnya.” kata Dr Rosni Adam selaku Ketua DMPBTR.