Home Berita PAS Selangor

Dengki kepada orang sumbang tabung infaq? – Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor

98
SHARE

May be an image of one or more people and text

Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Abu Aslah Al-Qudsi

Bangi | Di saat rata-rata rakyat Malaysia bahkan masyarakat seluruh dunia berbicara soal Palestin dan kekejaman Israel serta ruang yang ada untuk menyumbang bagi membantu tanda solidariti samaada dalam bentuk tenaga, buah fikiran dan lebih-lebih lagi kewangan, ada dikalangan pihak tertentu “menangguk di air keruh” dengan cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap sumbangan yang diberikan.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah dalam mengulas perkara tersebut menyifatkan bahawa sememangnya sifat semula jadi manusia Allah ciptakan ada sifat dengki atau cemburu. Tinggal lagi samaada ia suatu dengki yang baik atau tidak atas nilaian Allah SWT.

Lumrah manusia kebanyakkannya dengki dalam soal harta. Dengki kepada orang berharta (orang kaya) itu ada dua bentuk. Pertama dengki kepada perbelanjaan orang kaya dalam kemewahan hidupnya. Kedua dengki kepada orang kaya kerana infaqnya banyak. “Cuba tanya diri kita, kita dengki yang mana”? ulas beliau lagi.

Us Shafie Ngah yang merupakan YDP PAS Kawasan Bangi itu juga menyingkap kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Menurut beliau, pada suatu hari sekumpulan ahli suffah (para muhajirin yang tinggal di Masjid Nabi) menemui Rasulullah SAW mengadu tentang ganjaran pahala orang yang menginfaqkan harta mereka. Kata mereka,

“Wahai Rasulullah, nampaknya orang-orang kaya membolot semua pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat. Mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Malah mereka bersedekah dengan harta yang mereka ada (sedangkan kami tidak mampu).”

Respon Baginda SAW.

“Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kamu, yang kamu boleh mendapat pahala sedekah dengannya? Sesunggguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, menyuruh kepada ma’ruf itu sedekah, mencegah daripada munkar itu sedekah, bahkan seseorang bersama dengan isterinya juga suatu sedekah.”

Di antara mereka bertanya,

“Apakah apabila seseorang itu menyalurkan syahwat kepada pasangannya pun ada pahala sedekah?” Jawab Baginda SAW; “Apakah apabila seseorang menyalurkan syahwatnya ke tempat yang diharamkan itu berdosa? Jika itu berdosa maka menyalurkan syahwat ke tempat yang halal itu akan mendapat pahala.”

Dengan jawapan itu, para Sahabat r.a yang mengadu kepada Rasululah SAW itu kembali dengan merasa lega. Fahamlah mereka betapa ruang dan peluang untuk mencari pahala itu banyak sebenarnya.

Namun tidak lama selepas itu kumpulan ini pergi mengadap Rasulullah SAW semula, mengadu perkara yang sama.

Mereka mengadu dengan berkata,

“Wahai Rasulullah. Rakan-rakan kami yang kaya itu mendengar apa yang tuan hamba pesan kepada kami dahulu (perbanyakkan tasbih, takbir, tahmid dan lain-lain). Mereka semua buat apa yang kami buat (sedang mereka masih punyai kelebihan dek kerana mereka itu kaya dan menginfaqkan harta yang mereka ada).”

Baginda Raslulah SAW senyum seraya berkata,

“Itu (kaya) merupakan anugerah daripada Allah, yang Dia berikan kepada sesiapa yang Dia mahu.” Hadith Riwayat Imam Muslim, daripada Abu Zar (r.a.)

Demikian kisah yang dikongsi oleh Us Shafie Ngah bagi menghuraikan erti dengki yang baik melalui teladan sirah Nabawi.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor