MARANG – Sebahagian penyokong-penyokong Terengganu Football Club (Terengganu FC) bergotong-royong mengecat dan menyiapkan 10 kain rentang kata-kata semangat untuk pasukan kesayangan mereka yang akan beraksi di perlawanan akhir Piala FA, minggu ini.
Wakil peminat bola sepak Terengganu dari Kampung Wakaf Dua, Muda Mat Ali, 60, atau lebih dikenali sebagai Pok Pin bola berkata, semua penduduk memberikan sokongan dan dukungan menyiapkan kain rentang dengan kos sekitar RM1,000.
“Hari ini, kami peminat dengan penuh semangat turun bergotong royong menyediakan kain rentang, banner bagi menyerikan dan menambah semangat penyokong-penyokong kita menuju ke Bukit Jalil.
“Kita dengan penuh rasa rendah diri serta semangat, harap pemain dapat mencurahkan dan melahirkan apa yang kita mahu selain bermain penuh semangat dalam menjayakan matlamat kejayaan kita semua,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Wakaf Dua, hari ini.
Tambahnya, sebanyak tiga bas rombongan peminat-peminat akan bergerak Jumaat ini bagi memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu FC.
“Inilah yang mampu kami sumbangkan kepada pasukan.
“Sudah sekian lama kita tidak merangkul piala, harap kali ini kita membawa pulang kejayaan untuk rakyat Terengganu,” katanya.
Peminat setia sejak tahun 1978 itu turut menyatakan, penyokong dari kampung berkenaan turut berjanji akan ‘menumbangkan’ dua ekor lembu jika Terengganu FC berjaya menjulang Piala FA 2022.
“Ini bukan cakap main-main, kalau kita menang kali ini kami telah menyediakan dua ekor lembu sebagai mengenang jasa pasukan, pemain dan kejurulatihan,” katanya.