Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 26 Nov – “Setiap pagi arwah akan menunggu lori Harakah, sejak 10 tahun lalu, untuk menghantar dan mengagihkan akhbar tersebut kepada cawangan-cawangan,” kata Ahli Dewan Negeri Beserah Andansura Rabu.
Beliau berkata demikian sebaik sahaja mendapat perkhabaran kematian Setiausaha Kerjanya Mohamad Safie Ideris (69) yang telah meninggal dunia di sini semalam akibat komplikasi buah pinggang.
“Selain menunggu lori, beliau turut membuat kutipan bayaran dan apa jua pengurusan lain yang berkaitan, menjadikan Harakah sebagai salah satu akhbar utama untuk ahli PAS kawasan Indera Mahkota,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, almarhum akan terus dikenang sebagai seorang individu yang komited, berdedikasi, dan berjasa besar dalam memperkukuhkan gerak kerja parti di kawasan Indera Mahkota.
“Saya, bagi pihak pimpinan PAS kawasan, merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga beliau dan mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan dan pengorbanan arwah serta ahli keluarga dalam melaksanakan amanah sebagai Setiausaha Kerja,” ujar Andansura lagi.
Sementara itu Setiausaha PAS Kawasan Indera Mahkota, Johari Yahya berkata, almarhum adalah seorang amilin parti yang telah memberi sepenuh komitmen terhadap urusan pentadbiran pejabat PAS Kawasan.
“Beliau telah menginfakkan diri, masa dan harta untuk jemaah lebih dari 15 tahun sehingga akhir hayatnya.
“Walaupun sudah berusia, namun semangatnya untuk terus bekerja sebagai Amilin Parti sukar dicari ganti,” tambahnya lagi.
Almarhum meninggalkan seorang isteri dan tujuh orang anak, baru saja kembali dari mengerjakan umrah sebelum Allah menjemputnya semalam.