Home Berita PAS Terengganu

Dasar Pelaburan baharu bakal diwarta suku kedua 2024

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan melaksanakan  Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu yang dijangka dapat diwartakan pada suku kedua 2024 nanti

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Khuzaini Ab Rahman berkata langkah tersebut bagi mewujudkan ekosistem mesra pelabur untuk meningkatkan pelaburan ‘Domestic Direct Investment’ (DDI) dan ‘Foreign Direct Investment’ (FDI) ke Negeri Terengganu

Katanya, walau bagaimanapun, pelabur yang berminat untuk melabur di Negeri Terengganu perlulah dipastikan bahawa pelabur yang ‘genuine’ (tulen) bagi menjaga kepentingan Kerajaan Negeri dan rakyat.

“Sebagaimana kerangka, matlamat pelaksanaan dasar tersebut adalah dengan memberi penekanan kepada mengurangkan kerenah birokrasi yang berlaku.

“Tujuan pelaksanaan dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian ini adalah bagi melancarkan proses pelaburan perindustrian di Negeri Terengganu sama ada dari pihak pelabur yang berminat dan juga kepada Kerajaan Negeri dan agensi atau jabatan berkaitan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Tambahnya, antara intipati  kepada pelaksanaan dasar mesra pelabur dengan mengadakan perbincangan langsung dengan pelabur berminat bagi mendapatkan lebih input dan keperluan pelabur.

“Pihak PMINT akan melaksanakan ‘due diligence’ kepada pelabur yang berminat bagi melabur di Negeri Terengganu.

“Ini termasuk kolaborasi yang baik dijalinkan antara Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan seperti MIDA dan ECERDC melalui perkongsian informasi bagi menarik pelabur berpotensi melabur ke Terengganu,” ujarnya.

Beliau juga berkata  proses permohonan pajakan tanah oleh pelabur juga akan dipercepatkan dengan mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (MJPINT) yang dipengerusikan olehnya dengan ahli jawatankuasa melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Teknikal dan MIDA.

“Kita akan mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan ‘submission’ oleh pelabur dengan mewujudkan kemudahan khidmat runding melalui ‘pre-consult’/’fast lane’ di Peringkat PBT bagi kelulusan pelan.

“Selain itu, kita akan melaksanakan ‘Trade Mission’ serta Ekspo Industri seperti MIDA Series dan ECERDC Invest@ECER Series bagi promosi pelaburan,”katanya.