KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan Negeri sedang melakukan penambahbaikan Garis Panduan Pembangunan lndustri Negeri Terenganu 2004-2008 kepada satu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan mengikut keadaan ekonomi semasa dan akan datang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dasar tersebut dirangka bagi menarik pelaburan berimpak tinggi selaras dengan PITAS 2030 dan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam RMK Ke-12.
“Matlamat Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu Baharu akan menfokuskan kepada meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan asing ke negeri ini.
“Selain menawarkan peluang dan ruang kepada pelabur yang berpotensi bagi semua perindustrian berkonsepkan mesra pelabur (investor friendly) selain penerokaan perindustrian baru,” ujarnya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang ingin tahu mengenai apakah polisi dan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri di samping MIDA dalam mengalu-alukan dan menarik minat pelabur untuk memilih Negeri Terengganu.
Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Memajukan lktisad Negeri Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai agensi dilantik untuk menguruskan kawasan perindustrian negeri akan menawarkan beberapa insentif kepada pelabur.
“Antaranya, pemberian harga diskaun berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan bergantung kepada keadaan tapak industri yang ditawarkan.
“Pembayaran pajakan tanah secara berjadual bagi membantu pelabur untuk merancang dan dapat merealisasikan pelaburan yang dicadangkan dengan lebih lancar.
“Selain, penyediaan infrastruktur asas yang diperlukan atau pengurangan daripada tawaran harga pajakan bagi meringankan pelabur,”jelasnya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi yang bertanyakan mengenai kaedah yang dilaksanakan kerajaan untuk memastikan proses permohonan, penilaian dan kelulusan setiap pelaburan yang ingin masuk ke Terengganu lebih mesra pelabur, katanya pelaksanaan proses penilaian dan kelulusan akan dibantu supaya turut memberi jaringan alternatif supaya sesuatu projek dapat dilaksanakan.
“Jadi bukan setakat kita memberi jawapan ‘Yes or No’ kepada pelabur. Tetapi, kita cuba guide, bantu, tunjuk ajar untuk memastikan projek itu dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, tidak dinafikan bahawa memang wujud keperluan bagi memproses, menilai dan membuat keputusan terhadap setiap cadangan pelaburan itu dengan penuh cermat dan teliti untuk membezakan di antara pelabur yang sebenar dan pelabur yang hanya menjadi broker ataupun di atas tujuan lain.
“Kerap kali juga, apa yang berlaku ialah kelewatan berpunca daripada kelemahan pihak pelabur yang tidak dapat menyediakan maklumat sokongan yang diperlukan dan tidak memenuhi keperluan atau lampiran tidak lengkap, isi borang tak lengkap, lampiran pun tak lengkap, ada sesetengah itu dana pun belum ada lagi. Tertakluk kepada pihak berkuasa kerajaan, baru nak cari dana atas sebab-sebab yang lain.
“Dan kita juga tak nafikan bahawa terdapat kelemahan dari pihak kerajaan, agensi-agensi pelaksana dan ini sedang diuruskan oleh kerajaan secara proaktif di mana kita telah menubuhkan Pasukan Khas atau Special Task Force (fast lane) bagi membantu para pelabur sebagai pemudahcara permohonan tanah atau kelulusan dengan agensi teknikal yang lain,” ujarnya.