Home Minda Presiden

Daripada mana datangnya integriti?

201
SHARE


Minda Presiden PAS
DARIPADA MANA DATANGNYA INTEGRITI?


Perkataan integriti berkembang daripada perkataan integer iaitu kata sifat dalam Bahasa Latin, yang bermaksud keseluruhan (whole) atau lengkap (complete). Seterusnya, ia diterjemahkan pula dengan istilah moral dengan maksud kejujuran yang dilengkapi oleh ketegasan dalam melaksanakan perkara yang betul, serta menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip, nilai moral dan etika yang kuat.

Manakala dalam Islam pula disebutkan dengan perkataan ikhlas, amanah dan beristiqamah. Kesemua sifat ini lahir daripada hidayah (petunjuk) sebenar yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam hati manusia yang menjadi raja memerintah seluruh anggota jasad. Hati juga bertindak melakukan amalan yang soleh dalam semua perkara agama dan dunia, bukannya berlagak atau berlakon.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:

‌أَلَا ‌وَإِنَّ ‌فِي ‌الجَسَدِ ‌مُضْغَةً، ‌إِذَا ‌صَلَحَتْ ‌صَلَحَ ‌الجَسَدُ ‌كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ القَلْبُ.

“Ingatlah! Bahawa dalam jasad manusia terdapat segumpal daging, apabila baik (gumpalan daging tersebut) maka baiklah seluruh jasadnya; dan jika ia buruk, maka jahatlah seluruh jasadnya. Ingatlah! Bahawa segumpal daging itu ialah jantung (hati yang menyalurkan perasaan).” (Riwayat al-Bukhari 52 dan Muslim 1599)

Al-Quran ialah petunjuk yang dipohon kepada Allah SWT dalam setiap rakaat solat oleh penganut Islam yang taat. Manusia sentiasa meminta hidayah (petunjuk) kepada hati yang digerakkan oleh perasaan, dan ia diminta secara bermunajat kepada Allah Pencipta alam.

Allah SWT juga Tuhan kepada makhluk manusia yang telah ditugaskan beramal di alam dunia secara khusus supaya beribadat (mematuhi secara mutlak dalam semua urusan) yang ditetapkan oleh Allah SWT, berkhilafah (mentadbir) dan beramanah (menunaikan perintah Allah) dengan hidayah (petunjuk Allah). Hanya mereka yang bertaqwa sahaja dapat melaksanakannya secara sempurna dengan memenuhi ciri-ciri yang melahirkan konsep integriti yang sebenar.

Firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ٢ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ٣ وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ٤ أُوْلَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ٥﴾

“Alif, Laam, Miim. (1); Kitab al-Quran ini, tiada sebarang keraguan padanya; ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. (2); Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, mendirikan sembahyang dan membelanjakan (menafkahkan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (3); Dan juga mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya kehidupan akhirat. (4); Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)” (Surah al-Baqarah: 1-5)

Mereka yang bertaqwa itu dinyatakan dalam ayat ini bahawa percaya dengan ikhlas kepada semua rukun iman. Pada masa yang sama, mengerjakan amal soleh dengan diri dan harta dalam hubungan dengan Allah SWT, manusia dan alam sekeliling.

Segala aspek tersebut sangat berkaitan dengan peranan manusia yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam semua urusan kehidupan, hingga membawa kepada mati dan dihidupkan semula di alam akhirat kelak. Hal ini menunjukkan bahawa tugas manusia itu tidak ditamatkan dengan kematiannya di alam dunia.

Keikhlasan itu datangnya hanya dengan beriman kepada Allah semata-mata, dengan  beraqidah tauhid (percaya kepada Tuhan yang Maha Esa), perkara yang ghaib dan Hari Akhirat yang menjadi asas. Perkara tersebut telah dinyatakan dalam semua kitab suci yang asal, bukannya dalam kitab suci yang telah diubah oleh berbagai-bagai agama yang sudah dipinda atau dicipta oleh manusia.

Aqidah tauhid dan kepercayaan kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa dan adanya Hari Akhirat selepas kematian, merupakan asal kepercayaan awal manusia pertama iaitu Nabi Adam AS yang mula-mula sekali diciptakan oleh-Nya. Adapun melantik tuhan-tuhan selain Allah SWT dan mencipta petunjuk selain itu datang kemudian daripada Baginda AS, selepas sepuluh abad kewafatannya.

Apabila manusia terkeluar dan tergelincir daripada fitrahnya dalam aspek ketuhanan, maka diciptakan teori-teori dan undang-undang di luar tabii (fitrah). Justeru, Allah SWT membetulkan keadaan itu dengan pelantikan para rasul yang silih berganti dan kitab suci yang diwahyukan bersama mereka, sehinggakan ia berakhir dengan kedatangan Rasul akhir zaman dan kitab suci al-Quran yang telah dijanjikan dalam semua kitab suci agama.

Kepercayaan kepada Allah SWT dianuti oleh semua agama yang berbeza zaman dan para rasul. Adapun melantik tuhan selain daripadanya, maka selepasnya diadakan perubahan.

Kepercayaan kepada Tuhan mewajibkan integriti menjadi sebahagian daripada ajaran fitrah manusia yang bermoral dan ia dianut oleh umat beragama yang masih menerima sifat fitrah manusia.

Berbalik kepada konsep integriti yang menjadi tajuk di atas, ia hanya lahir daripada keimanan yang mencipta sifat taqwa daripada hati yang memperhambakan diri kepada Allah SWT sahaja. Dalam pada itu, menolak adanya tuhan-tuhan yang lain dan percaya kepada Hari Akhirat yang menjadi wawasan manusia yang sebenar.

Integriti juga berlaku dengan kepatuhan kepada undang-undang Allah SWT dan juga undang-undang ciptaan manusia yang diizinkan oleh-Nya. Namun, undang-undang Allah SWT merupakan undang-undang yang paling tinggi mengatasi semua, sehingga tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang sekiranya wujud salah laku termasuklah para rasul yang dilantik oleh Allah SWT dan dipelihara sifatnya.

Begitu juga, para pemimpin dan pemerintah yang dilantik oleh manusia yang paling tinggi kedudukannya seperti raja, Presiden atau Perdana Menteri. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٦٥﴾

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu sebelummu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah), nescaya akan gugur (terhapus) amalmu, dan tentulah kamu akan tetap termasuk daripada kalangan orang-orang yang rugi.’” (Surah al-Zumar: 65)

Islam yang meletakkan urusan politik sebahagian daripada ajarannya, paling awal mendahului selama beberapa abad dalam melaksanakan konsep pemisahan kuasa badan kehakiman yang menjadi kebanggaan demokrasi Barat. Konsep pemisahan kekuasaan, atau ‘trias politica’ Barat sebenarnya berasal dari Perancis pada abad ke-18 (Masihi), ketika ahli falsafah sosial dan politik Montesquieu menerbitkan karya ‘The Spirit of the Laws’ yang terkenal pada tahun 1748.

Dianggap sebagai salah satu daripada karya terbesar dalam sejarah teori politik dan perundangan, maka ‘The Spirit of the Laws’ diyakini telah mengilhamkan kepada penggubalan dua undang-undang iaitu Perlembagaan Amerika Syarikat (Constitution of the United States) dan Perisytiharan Hak-hak Manusia dan Warganegara Perancis (Declaration of the Rights of the Man and of the Citizen).

Bagi tujuan menetapkan pemimpin yang menjadi teladan dalam berintegriti, Rasulullah SAW telah melaksanakan konsep pemisahan kuasa antara pemerintah, pentadbiran dan kehakiman sewaktu menegakkan negara Islam di Madinah lebih awal (pada abad keenam Masihi). Kemudiannya, ia diikuti oleh para Khulafa’ al-Rasyidin RA selepasnya dalam banyak peristiwa kehakiman yang melibatkan antara ketua negara dengan rakyat, termasuklah rakyat bukan Islam dalam kalangan masyarakat majmuk.

Sebelum kewafatannya ketika sedang sakit, Rasulullah SAW datang ke masjid lalu bertanyakan sesiapa yang ada sekiranya terdapat salah laku dirinya dan menyuruh agar tampil menyatakannya agar Baginda SAW dihukum.

Dalam peristiwa yang lain, ketika Rasulullah SAW dituntut supaya membebaskan seorang bangsawan yang mencuri, lantas dengan tegas Baginda menyatakan seandainya puteri kesayangannya iaitu Fatimah mencuri, nescaya Baginda akan memotong tangannya.

Rasulullah SAW juga pernah membuang buah tamar yang merupakan zakat yang dimakan daripada mulut cucu kesayangannya.

Contoh yang lain, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA membawa masalah yang dihadapinya ke mahkamah di hadapan Hakim Syuraih RH dengan tidak menggunakan kedudukannya sebagai ketua negara, apabila berlaku pertelingkahannya dengan seorang Badwi. Hal ini demikian kerana, kuda yang beliau beli didapati cacat selepas haiwan itu digunakan.

Begitu juga, kisah yang melibatkan Khalifah ‘Ali RA dengan seorang Yahudi (bukan Islam) dan Khalifah Muhammad al-Fateh RH yang salah laku terhadap seorang penganut Kristian daripada kalangan rakyatnya, di mana ketua negara tidak boleh mengatasi undang-undang negara.

Firman Allah SWT:

﴿۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا١٣٥﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, dan menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kalian sendiri, ataupun ibu bapa dan kaum kerabat kalian. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kalian terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kalian bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kalian mengikuti hawa nafsu supaya kalian tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kalian memutar-balikkan (kata-kata) ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui akan segala apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Nisa’: 135)

Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil; dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Hanya sifat taqwa yang lahir daripada iman yang ikhlas kepada Allah SWT sahaja mewajibkan seseorang itu berintegriti dengan konsisten bukannya secara berpura-pura. Hal ini demikian kerana, berkeyakinan bahawa tindakan yang salah akan diulang bicara di hadapan Allah SWT pada Hari Kiamat nanti, walaupun terlepas kerana penyalahgunaan kuasa atau bersembunyi di alam dunia.

Al-Quran menegaskan bahawa semua amalan manusia dicatat oleh para malaikat dan anggotanya sendiri menjadi saksi di mahkamah Allah. Firman Allah SWT:

﴿وَإِنَّ عَلَيۡكُمۡ لَحَٰفِظِينَ١٠ كِرَامٗا كَٰتِبِينَ١١ يَعۡلَمُونَ مَا تَفۡعَلُونَ١٢﴾

“Padahal sesungguhnya, bagi kalian terdapat malaikat-malaikat yang mengawasi segalanya (perbuatan kalian). (10); (Mereka ialah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kalian). (11); Mereka mengetahui apa yang kalian lakukan. (12)” (Surah al-Infitar: 10-12)

Firman Allah SWT:

﴿إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ١٧ مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ١٨﴾

“(Iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. (17); Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada berdekatannya malaikat pengawas yang selalu hadir. (18)” (Surah Qaf: 17-18)

Firman Allah SWT:

﴿ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٦٥﴾

“Pada hari ini Kami materikan mulut mereka; dan (sejurus itu diberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (akan kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Hanya mereka yang bertaqwa sahaja takut akan Allah SWT dan bertanggungjawab dengan adil dan sempurna dalam semua urusan. Perkara disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ وَإِن تَدۡعُ مُثۡقَلَةٌ إِلَىٰ حِمۡلِهَا لَا يُحۡمَلۡ مِنۡهُ شَيۡءٞ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰٓۗ إِنَّمَا تُنذِرُ ٱلَّذِينَ يَخۡشَوۡنَ رَبَّهُم بِٱلۡغَيۡبِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَۚ وَمَن تَزَكَّىٰ فَإِنَّمَا يَتَزَكَّىٰ لِنَفۡسِهِۦۚ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ١٨﴾

“Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa akibat perbuatan orang lain. Dan jika seseorang yang berat tanggungan dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikit pun meskipun (yang diminta pertolongannya itu) kaum kerabatnya sendiri. Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) dapat memberikan peringatan hanya kepada orang-orang yang takut akan azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya dan mereka mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya dia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Surah Fatir: 18)

Walaupun terdapat persamaan dari segi perkataan dan tafsiran integriti, namun Islam sangat berbeza dengan kefahaman dan objektif integriti yang terdapat dalam ideologi dan teori ciptaan manusia. Hal ini disebabkan aspek rohani yang tumbuh daripada keimanan melahirkan ketaqwaan yang sempurna wujud dalam ajaran Islam.

Hal ini sekali gus menegaskan bahawa manusia bukan sahaja dikawal oleh undang-undang yang zahir secara terbuka. Bahkan, mereka juga dikawal oleh aspek rohani tentang adanya soal dosa dan pahala di hadapan Allah Pencipta alam yang Maha Berkuasa, lagi Maha Mengetahui yang zahir mahupun yang tersembunyi.

Adapun salah laku dan ketiadaan integriti daripada mereka yang menganut Islam tidak boleh menjadi ukuran kepada ajaran Islam. Hal ini demikian kerana, Allah SWT membahagikan penganut Islam itu kepada beberapa golongan sebagaimana firman-Nya:

﴿ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٞ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٞ وَمِنۡهُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٰتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡكَبِيرُ٣٢﴾

“Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih antara hamba-hamba Kami, lalu antara mereka ada yang berlaku zalim terhadap diri mereka sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), antara mereka juga ada yang bersikap sederhana dan antara mereka (pula) ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Oleh yang demikian, itu adalah kurniaan yang amat besar (daripada Allah).” (Surah Fatir: 32)

Islam berjaya melaksanakan konsep adil kepada semua manusia dalam konteks masyarakat majmuk. Kerajaan Islam ialah kerajaan yang paling berjaya sehingga mampu bertahan selama beberapa abad lamanya (lebih daripada 14 abad) kerana mempunyai integriti dalam pelaksanaan Islam. Perkara ini adalah berpandukan firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasul-Nya dan kepada Ulil Amri (para pemimpin) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Kejatuhan kerajaan Islam pada zaman mutakhir berlaku apabila para pemimpin dan umatnya tidak beramal dengan ajaran dan petunjuk Islam, bukanlah disebabkan oleh kelemahan ajaran Islam. Adapun kejatuhan semua kerajaan yang lain adalah berpunca daripada kelemahan ajaran dan ideologi masing-masing.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 14 Rajab 1443 / 17 Februari 2022