KUALA NERUS – Tatkala sebahagian anak muda masih tercari-cari arah hidup, seramai 47 anak asnaf berjaya menamatkan latihan teknikal dan industri dalam Program Oil and Gas Wakalah TVET (OGWTP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), sekali gus membuka jalan keluar dari belenggu kemiskinan menuju masa depan yang lebih terjamin.
Program selama enam bulan itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan kemahiran dalam bidang mekanikal serta elektrikal dan instrumentasi, malah menyediakan pensijilan industri bernilai tinggi yang laku keras dalam sektor minyak dan gas, satu peluang yang sebelum ini hanya menjadi angan-angan bagi mereka yang datang dari rumah-rumah serba sederhana.
Mohammad Nasrul Nafie Mohd Nasran, salah seorang graduan program, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program latihan yang disifatkannya sebagai luar biasa.
“Sepanjang enam bulan ini, kami menempuh pengalaman yang tak pernah kami bayangkan, dan amat bermakna,” katanya penuh terharu.
Bagi Iman Hakim Mohd Firuz, 24, dari Kampung Pelandan, Kuala Berang, keputusan menyertai OGWTP adalah satu anjakan besar dalam hidupnya.
“Saya mula berminat dalam bidang ini semasa kerja dulu.
“Bila tahu sijil INSTEP sangat bernilai, saya terus mohon,” katanya, sambil berkongsi bahawa minatnya disemai oleh pengalaman kerja serta sokongan ayahnya.
Kisah Amer Mustaqim Kamaruddin, 22, dari Kampung Raja, Besut, pula mencerminkan kecekalan seorang anak buruh yang menjadikan minat terhadap kerja tangan sebagai motivasi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
“Saya minat baiki motor sejak sekolah.
“OGWTP ini bagi saya peluang belajar betul-betul,” ujarnya.
Program OGWTP adalah hasil kolaborasi INSTEP bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat wakalah berjumlah RM2 juta.