Home Berita PAS Perak

Dari Hizbul Muslimin sehingga PAS Cawangan Perak

70
SHARE


DARI HIZBUL MUSLIMIN SEHINGGA PAS CAWANGAN PERAK

Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 1948, diharamkan pada tahun yang sama, iaitu pada bulan Ogos. Pengharaman ini kesan daripada tekanan Ordinan Darurat 1948. Sejak Hizbul Muslimin dilumpuhkan pada tika ini, sebahagian ahlinya telah bergerak dalam Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO, sebelum mereka menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya PAS pada Ogos 1951, untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Beberapa tokoh Ulamak yang bergerak di dalam Bahagian itu, khususnya Majlis Ulamak Hilir Perak antara yang terawal berperanan mendesak UMNO bagi membincangkan masalah perhubungan dan penyelarasan pentadbiran agama di Malaya.
Hasil desakan inilah yang memaksa UMNO mengadakan persidangan alim ulamak pada 21 dan 22 Februari 1950.

UMNO terpaksa mengadakan persidangan tersebut kerana menyedari pengaruh alim ulamak di kalangan masyarakat. Dalam persidangan ini, tujuh perkara telah diputuskan, termasuk menyatukan pentadbiran agama dan keperluan mewujudkan sebuah badan dakwah di Malaya.

Kegagalan UMNO melaksanakan resolusi persidangan ini telah menimbulkan rungutan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama UMNO, yang juga merupakan Ketua Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO, iaitu Tuan Guru Hj Fuad bin Hassan. Beliau merupakan penggerak utama Persatuan Sahabat Pena Semalaya (PASPAM) yang ditubuhkan pada 1934, khususnya bagi cawangan Gunong Semanggol.

Penubuhan PASPAM ada kaitan dengan gerakan yang dibawa oleh Syeikh al Hadi, yang merupakan anak murid kepada Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al Fathoni. Syeikh Wan Ahmad merupakan guru kepada Tok Kenali, Syeikh Ali Kelana Riau dan lain-lain. Beliau dikenali sebagai tokoh awal dalam gerakan Islam di Tanah Melayu.

Antara sebab rungutan Tuan Guru Hj Fuad Hassan ketika itu ialah UMNO telah memutuskan untuk melaksanakan perjudian loteri UMNO sebagai dana pembangunan ibu pejabat mereka. Hal ini telah menimbulkan desakan yang lebih besar untuk mengasaskan sebuah parti berasaskan Islam yang berasingan daripada UMNO. Apatah lagi Tuan Guru Hj Fuad bin Hassan turut menekankan kesatuan ulamak, kerana ia menjadi punca kenapa suara ulamak tidak dipedulikan.

Ketika Persidangan Alim Ulamak kali kedua yang diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, Tg Hj Fuad Hassan telah mengusulkan penubuhan Persatuan Ulamak Malaya (PAS) dan ia diluluskan. Tiga bulan kemudian, Jawatankuasa Penaja Penubuhan telah mengadakan persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kechil (Butterworth) bagi meluluskan undang-undang tubuh persatuan ini.

Dalam pertemuan yang bertarikh 24 November 1951 itu, antara ucapan beliau;
“Apa yang kita kehendaki sebenar-benarnya ialah orang-orang yang mahu bergerak dan mahu berkorban di dalam suatu yang susah dan fahaman yang jujur dan niat yang tulus ikhlas kepada Allah”.

Tn Guru Hj Ahmad Fuad Hassan dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan, dan secara rasmi ia telah menjadi wadah perjuangan baru bagi menggantikan Hizbul Muslimin yang telah diharamkan pada Ogos 1948. Bermula saat ini, tertubuhlah cawangan-cawangan persatuan ini di seluruh tanah air.

Cawangan pertama dan kedua yang ditubuhkan ialah PAS Cawangan Pulau Pinang pada 9 Mac 1952 dan PAS Cawangan Bukit Mertajam pada 20 April 1952. Selepas daripada itu, beberapa tokoh dan bekas pimpinan Hizbul Muslimin di Perak mula mengorak langkah untuk menubuhkan PAS Cawangan di Perak.

Antara penggerak utama di Perak ialah Tuan Guru Hj Abdul Samad Noh, Mudir Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas, Ustaz Othman Hamzah, dan lain-lain. Hasil usaha gigih mereka, akhirnya telah diadakan satu perjumpaan umat Islam di Kelab Saadat al Islam, Kuala Kangsar pada 26 April 1952. Pertemuan yang dihadiri seramai 150 orang penggerak Islam ini dipengerusikan oleh Ustaz Ahmad Malim Nawar.

Persidangan ini telah dibuka oleh Orang Besar Lapan Perak, Dato’ Orang Kaya Setia Bijaya Diraja Toh Muda Mohd Hashim bin Juragan Abdul Syukor. Persidangan yang turut dihadiri oleh Tuan Guru Hj Fuad Hassan ini telah mencetuskan penubuhan PAS Cawangan Perak (kemudian dikenali sebagai PAS Cawangan Kuala Kangsar), yang merupakan cawangan ketiga ditubuhkan di tanah air.

MUHAMMAD MUJAHID BIN IR HJ MOHAMMAD FADZIL
AJK Jabatan Penerangan dan Media Baharu
Pas Negeri Perak.