KUALA TERENGGANU – Wanita muda Terengganu terus membuktikan keupayaan mereka meneroka dunia luar dengan berani melalui program lasak terbaharu, ‘Jom Candat Pulak’. inisiatif sulung yang diperkenalkan selepas kejayaan mendaki pelbagai puncak gunung dan bukit sebelum ini.
Ketua Ameerah Fan Club (AFC) Terengganu, Asma Wahap, berkata seramai 30 peserta wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun menyertai program yang dianjurkan bersama Ameerah Terengganu.
“Tiga buah bot telah disediakan dan dijadualkan berlayar pada petang Khamis, 22 Mei, dan pulang ke darat pada pagi Jumaat, 23 Mei, insya-Allah.
“Setiap bot dilengkapi kemudahan asas termasuk tandas dan ruang rehat bagi memastikan keselesaan peserta,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Asma, program tersebut bukan sekadar memperkenalkan aktiviti mencandat sotong sebagai hobi, tetapi sebagai medium untuk membina jati diri, daya tahan fizikal dan mental, serta memperkukuh semangat berpasukan dan ukhuwah dalam suasana yang mencabar dan luar kebiasaan.
“Kami ingin mencabar stereotaip bahawa aktiviti lasak bukan hanya milik kaum lelaki. Ini adalah ruang bagi wanita muda mengekspresikan minat mereka dalam aktiviti luar, tanpa perlu menyembunyikan kekuatan sebenar yang mereka miliki,” ujar beliau.
Jelasnya, lebih daripada sekadar program santai di laut, ‘Jom Candat Pulak’ membawa mesej besar wanita muda Terengganu tidak gentar untuk menongkah arus, menolak sempadan norma dan membuka jalan untuk generasi baharu lebih yakin mencabar diri dalam ruang-ruang yang jarang diteroka.
Ujar beliau, program berkenaan juga dijadikan projek rintis dengan harapan ia akan diperluas ke peringkat kawasan dan DUN pada masa akan datang.
“Kami amat mengharapkan sokongan berterusan daripada masyarakat dan kepimpinan setempat agar usaha memartabatkan peranan wanita melalui aktiviti sihat dan berimpak tinggi ini dapat diteruskan secara lebih menyeluruh,” tambah Asma.