Home Berita PAS Pulau Pinang

DAP : Realiti & Fantasi

596
SHARE

Kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang digembar-gemburkan oleh Lim Guan Eng & DAP sebelum ini ternyata hanya satu lakonan bagi meraih undi Melayu Islam di Pulau Pinang. Selepas mendapat mandat memimpin Pulau Pinang sejak dari tahun 2008, kerajaan DAP mula menunjukkan taring dan belang mereka yang sebenar.

DAP hari ini dilihat menindas peniaga Melayu Pulau Pinang dengan perobohan gerai-gerai milik orang Melayu dengan alasan menghalang laluan jalanraya sedangkan gerai-gerai milik bukan Melayu dibiar menjaja tanpa sebarang gangguan. Gerai-gerai milik bukan melayu di sekitar Jalan Baru dan Jalan Pengkalan Weld adalah bukti menunjukkan sikap DAP yang rasis kerana gerai-gerai tersebut sentiasa mengganggu jalan dan mengakibatkan kesesakan. Terbaru, kemalangan yang melibatkan gerai-gerai penjaja di Jalan Baru menunjukkan keberadaan gerai tersebut mengganggu dan menghalang laluan umum.

Tidak cukup dengan itu, DAP sudah mula mencampuri urusan Hal Ehwal Agama Islam dan mencemarkan kedaulatan Islam di Pulau Pinang dengan campurtangan mereka dalam isu fatwa. Kesemua fatwa yang telah dibincang dan diputuskan oleh Majlis Fatwa Pulau Pinang perlu melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum dihantar untuk perkenan Yang Di-Pertuan Agong. Campurtangan DAP dalam isu fatwa menunjukkan sikap DAP yang ingin menyekat dan menghalang pembangunan Islam di negeri ini. Antara fatwa yang ditahan adalah Pengharaman ratu cantik dan pengharaman shisha.

Kerajaan pimpinan DAP juga semakin bernafsu memajukan Pulau Pinang dengan percambahan pusat-pusat perjudian, pub dan disco di sekitar Georgetown. Antaranya adalah The Beer Factory di Penang Times Square, Se7enSky dan banyak lagi. Pemberian lesen yang berleluasa dilihat memberi impak negatif kepada masyarakat Islam khususnya di Georgetown sekaligus dikhuatiri menjadi sarang jenayah yang boleh mengganggu keamanan dan keselamatan penduduk setempat.

Kerajaan DAP juga dilihat gagal membendung gejala negatif dan maksiat yang berlaku di Pulau Pinang. Pusat pelacuran yang terdapat sekitar Georgetown seperti di Jalan Love Lane dan Lebuh Chulia dibiarkan beroperasi tanpa tindakan serius dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Janji-janji yang ditabur dan dibuat oleh DAP sebelum ini sekadar omong kosong dan ingin mendapatkan undi melayu Pulau Pinang.

Begitu banyak kelemahan dan kegagalan kerajaan DAP di Pulau Pinang dalam membela kehidupan rakyat. Ini tidak termasuk isu penambakan laut, kesesakan jalan raya dan banjir kilat yang menyusahkan rakyat disebabkan kerajaan negeri yang mementingkan diri dan parti semata-mata.

Kebiadapan dan sikap pilih bulu DAP tidak ubah seperti kerajaan Barisan Nasional yang dilihat sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kedudukan dan kuasa mereka. Kebaikan yang dicanang kepada rakyat hanya menjadi gula-gula pilihanraya dan tidak benar-benar ingin menjadi kerajaan yang bersih,adil & saksama.

Mara Menuju Cita
Sejahtera Bersama Islam

Muhammad Haffiz Zainalabidin
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda Pas Kawasan Tanjong

{jathumbnail off}