Home Berita PAS Terengganu

DAP menyanggah Islam

335
SHARE

“Kit Siang mahu Umno lebih kuat dari Bersatu, PAS.

Lim Kit Siang berkata kenyataan yang dibuatnya mengenai isu pembebasan Najib Razak bertujuan untuk melihat UMNO menjadi lebih kuat berbanding PAS dan Bersatu.

Veteran DAP itu berkata satu-satunya cara untuk UMNO kembali gemilang seperti dahulu ialah dengan parti tersebut kembali berpegang kepada dasar dan prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan Rukun Negara.” (Malaysiakini, 17 April 2023)

Kenyataan yang tidak seharusnya dibaca yang tersurat sahaja tanpa memahami yang tersirat, kenyataan yang dibuat tidak menyembunyikan perjuangan dan hala tuju parti DAP.

Tidak menghairankan apabila DAP yang berprinsip dan berkonsepkan sosialisme, sekularisme dan Malaysian Malaysia mengikut undang-undang tubuhnya, mengambil pendekatan pragmatik.

Justeru, perlu dilakukan muhasabah terhadap parti yang menjadi salah satu mazhab kepada asal usul falsafah Karl Marx, yang diubah suai mengikut realiti dan situasi yang berbeza dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Sebelum ini, DAP telah menyertai gabungan 55 buah parti demokratik sosial, sosialis dan buruh yang lain di seluruh dunia, sebagai ahli Sosialis Antarabangsa (SI) dalam sebuah persidangan di Zurich, Switzerland.

Adapun di Malaysia semua kumpulan kiri bersekongkol bersama DAP, termasuk kumpulan komunis yang paling ekstrem sehingga diharamkan. Setelah tidak ada tempat dalam hutan rimba, maka bersembunyilah mereka dalam DAP.

Dulu PAS bertahaluf dengan DAP dan bersama parti-parti lain dalam gagasan pembangkang berkonsepkan titik persamaan kemanusiaan yang tidak menyentuh dasar parti dan tidak terpesong hala tujunya.

Apabila PAS mencapai sedikit kejayaan dalam kerjasama itu, sehingga berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu, terkini memimpin Kedah pula, serta menambah kerusi di Parlimen, maka dianggapnya bahaya gelombang hijau kerana PAS mendapat kerusi terbanyak. Tafsiran yang ekstrem terhadap PAS, bukan kerana salahnya, tetapi kerana sikap menolak kebenaran secara tidak adil.

Begitulah ketidakselesaan DAP ketika PAS pernah mengatasi parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Maka, menjadi kewajipan PAS melaksanakan Islam melalui proses demokrasi berparlimen dan konsep federalisme melalui negeri-negeri yang berada di bawah kerajaan PAS dan bersuara di Parlimen berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar.

Begitu juga beberapa dialog diadakan dengan semua pihak, khususnya kalangan bukan Islam daripada parti politik, termasuk DAP dan badan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai agama. Tujuannya bagi memberi penjelasan dan menolak kekeliruan terhadap Islam secara ilmiah dan harmoni, berpandukan firman Allah SWT:

﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥﴾

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang tersesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl: 125)

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٤٦﴾

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka), ‘Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nya sahaja, kami patuh dengan berserah diri.’” (Surah al-‘Ankabut: 46)
PAS dapat membuktikan sedikit kejayaan dalam pelaksanaan Islam yang sangat terbatas. Hal ini disebabkan banyaknya sekatan-sekatan yang tidak bermoral politik demokrasi yang sebenar sehingga menyanggah prinsip federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan seperti menafikan perjanjian royalti dan lain-lain kepada Kelantan dan Terengganu.

Namun begitu, PAS berjaya mencapai banyak perkara yang positif. Antaranya menunjukkan contoh kerajaan negeri yang berintegriti, dan melaksanakan konsep adil kepada semua, sehingga dapat menembusi masyarakat bukan Islam dan berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Tiba-tiba DAP mengeluarkan kenyataan terbuka menentang pelaksanaan Islam di negeri di bawah pentadbiran PAS seperti pengharaman arak, judi dan hiburan yang berunsur maksiat kepada penganut Islam sahaja. Malah, DAP juga menentang pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 secara terbuka bersama rakan-rakannya.

Dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan bahawa undang-undang Islam hanya dikuatkuasakan kepada penganut Islam sahaja, tanpa gangguan terhadap hak beragama bukan Islam. PAS mengambil al-Quran menjadi rujukannya iaitu firman Allah SWT:

﴿…فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيۡ‍ٔٗاۖ وَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٤٢﴾

“…Oleh itu, jika mereka (orang bukan Islam) datang kepadamu, maka hukumlah antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah daripada mereka; dan jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun; dan jika kamu menghukum, maka hukumlah antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Ma’idah: 42)

PAS berpegang kepada konsep Maqasid al-Syari‘ah dan Siyasah Syar‘iyyah dalam menanggapi realiti dan situasi masyarakat majmuk yang tidak memisahkan pentadbiran negara daripada agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Tanpa terhad kepada penganut agama Yahudi pada zaman Rasulullah SAW sahaja, apabila mereka menerima Sahifah Madinah yang terkenal menjadi rujukan.

DAP secara terbuka mempertahankan tafsiran sekularisme dalam perlembagaan yang tidak disebutkan dengan nyata. Sebaliknya, PAS tetap mempertahankan Islam yang nyata dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini mestilah mengikut tafsiran ajaran Islam berpandukan perkataan ‘al-din’ yang terkandung dalam al-Quran.

Sekularisme mentafsirkan agama mengikut teori dan ideologi yang dibawa oleh penjajah dahulu. Tafsiran ini perlu dihapuskan setelah kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan, termasuk kemerdekaan dari sudut kefahaman dan aqidah.

PAS berpegang kepada syarat-syarat tahaluf (persefahaman dengan pihak lain) yang dibenarkan selagi tidak melanggar dasar yang menjadi aqidah sebuah Parti Islam.

Tiba-tiba pihak DAP secara terbuka dan agresif, menyanggah perkara yang menjadi prinsip kepada perjuangan PAS, walaupun PAS tetap memilih pendekatan demokrasi melalui Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menjadi hak kepada semua pihak untuk memberikan pandangan yang berbeza, tetapi DAP bertindak lebih dahulu dan beberapa kali mengeluarkan dirinya daripada persefahaman dengan hujah demi kepentingan perjuangan politiknya untuk menguasai negara. Bahkan, mereka mahu memaksa PAS mengubah dasar dan hala tujunya.

Akan tetapi, PAS dan pendukungnya teguh bersama prinsipnya tanpa mengira pasang dan surut, menang dan kalah. PAS terus beristiqamah atas prinsip demokrasi dan damai, pada masa yang sama menolak pendekatan ekstrem tanpa bermuka-muka dan berlakon dalam perjalanan politiknya.

DAP juga tidak dapat menutup pendirian politiknya yang sebenar. Hal ini demikian kerana PAS bukannya Melayu Islam yang mudah lupa terhadap Deklarasi Setapak yang memperkukuhkan pandangan DAP bahawa kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting dalam proses membina negara, dan di atas prinsip ini DAP berpegang bahawa pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ hendaklah ditentang.

PAS juga tidak lupa terhadap peristiwa pendedahan sikap DAP apabila mereka menyertai himpunan kumpulan kiri di Kajang beberapa tahun yang lalu. Himpunan yang bertujuan memperingati perjuangan kumpulan Komunis menentang Jepun bersama British kerana bersama dalam Perang Dunia Kedua, dan selepasnya menentang British supaya disenaraikan dalam perjuangan kemerdekaan negara. Hakikatnya, mereka hanya mahu menukar penjajah kepada blok Timur daripada blok Barat.

Pada masa yang sama, mereka memejam mata terhadap perjuangan awal kemerdekaan oleh raja-raja dan para ulama’ menentang penjajah sejak Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511 sebelum kedatangan pendatang yang menyokong DAP. Adapun perjuangan dahulu terus bersambung bertali arus menentang semua penjajah yang datang silih berganti beberapa abad, termasuk penjajah komunis, bukannya bermula dengan Perang Dunia Kedua.

PAS tidak lupa sikap DAP yang menyanjung abu mayat Chin Peng, ketua pemberontak komunis yang membunuh ramai anggota tentera dan polis walaupun berperang pada zaman penjajah British yang mengharamkannya. Hal ini demikian kerana, menentang Komunis itu lebih utama disebabkan lebih sesat dan bahaya daripada British.

Indonesia yang tidak mengharamkan parti komunisnya pada zaman Sukarno, maka dibunuhnya ulama’ dan raja-raja. Kini, hanya tinggal Sultan Jogja dan Raja Acheh sahaja. Ini mendedahkan agenda komunis yang sebenar.

Malah, PAS juga tidak lupa sejarah ketika penjajah melakukan tipu helahnya, ketika raja-raja ditawan dan dicabut kuasa yang berdaulat, rakyatnya pula ditipu dan dibuli. PAS juga tidak lupa ketika raja-raja dijadikan perisai manusia oleh penjajah dengan hujah menentang raja apabila melawan penjajah.

Kini, DAP dan rakan-rakannya menggunakan pendekatan yang sama seperti penjajah dahulu, mempertahankan kerajaan yang diberi nama perpaduan walaupun tiada perpaduannya, dan raja-raja dijadikan perisai manusia dengan meninggalkan konsep Raja Berperlembagaan dan dipertanggungjawab menjaga agama Islam.

PAS menarik diri daripada tindakan agresif melalui BERSIH bersama DAP dan rakan-rakannya yang tidak menunjukkan kebersihannya dalam amalan demokrasi yang sebenar. Sehinggakan, boleh mengundang campur tangan asing dalam urusan tanah air kita.

Kini, DAP mendedahkan penipuan yang tidak dapat disembunyikan lagi apabila bekerjasama dengan UMNO dengan tujuan mendapat undi Melayu Islam bagi menampung kegagalan PKR dan PAN yang kehilangan undi Melayu Islam.

Langkah yang menguji rakan-rakan UMNO, sama ada perjuangan politik kerana cari makan dan jawatan atau kerana syarat menunaikan amanah perjuangan agama, bangsa dan tanah air dengan kuasa politik.

PAS tidak boleh ditipu dan diheret keluar daripada dasarnya dan hala tuju Islamnya. Maka, PAS tidak boleh dimasukkan ke dalam dapur masakan DAP yang ada bersamanya makanan yang tidak halal, walaupun bertukar tukang masaknya atau diambil tukang masak beragama Islam.

PAS mempunyai pendekatan Islam dalam masyarakat majmuk yang tidak menghalang kalangan bukan Islam menganut agama masing-masing. Bahkan, perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam dibenarkan kepada mereka secara bertasamuh mengikut sempadan masing-masing dan bersatu dalam titik persamaan dari segi kemanusiaan sejagat.

Al-Quran tetap menjadi petunjuk kepada PAS bagi mengenal kawan dan lawan. Firman Allah SWT:

﴿هَٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡ‍ًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ١٢٠﴾

“Beginilah kamu, kamu sahajalah yang menyukai mereka, sedang mereka tidak menyukai kamu. Dan kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman’, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu). Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.’ Sesungguhnya, Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” (Surah Ali ‘Imran: 119-120)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 30 Ramadan 1444 / 21 April 2023

[Bil: 31 / 2023]