KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu telah menegaskan bahawa dakwaan negeri ini “mengemis” bantuan daripada Kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat.
Sebaliknya, Penyaluran dana adalah sebahagian daripada kewajipan perlembagaan dan prinsip ‘fiscal federalism’ yang termaktub dalam undang-undang negara.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, setiap pemindahan kewangan adalah berdasarkan akta dan perjanjian persekutuan yang sah serta bukan sekadar ihsan pusat.
Beliau menggariskan tiga perkara utama iaitu pemberian wajib persekutuan, peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), serta pembayaran tunai petroleum (royalti) kepada negeri.
Mengulas mengenai pemberian Persekutuan, Ustaz Mohd Harun menjelaskan bahawa kerajaan pusat terikat dengan Perlembagaan Persekutuan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada semua negeri.
“Data 2024 menunjukkan Terengganu hanya menerima RM449.7 juta, bersamaan kira-kira 4.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pemberian Persekutuan.
“Sebagai perbandingan, Johor menerima peruntukan tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu RM1.008 bilion (10.7%), diikuti Selangor RM986.3 juta (10.5%), Perak RM872.1 juta (9.3%) dan Pahang RM654.8 juta (7.0%),”
“Dana ini diklasifikasikan sebagai Terimaan Bukan Hasil, yang penting untuk menampung perbelanjaan mengurus (Opex) kerajaan negeri selain daripada hasil cukai dan bukan cukai negeri.” katanya melalui satu kenyataan media, semalam.
Beliau menambah bahawa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menghargai pemberian tersebut, tetapi tetap menggesa semakan semula formula agihan agar lebih adil dan kompetitif mengikut realiti ekonomi semasa.
Mengenai peruntukan pembangunan, Ustaz Harun berkata tanggungjawab membangunkan negeri terletak pada kerajaan persekutuan yang mengutip hasil cukai di peringkat negeri. Kerajaan negeri yang proaktif akan menuntut peruntukan melalui Rolling Plan (RP) di bawah RMK demi kepentingan rakyat.
Namun katanya, terdapat ketidakseimbangan dalam kelulusan RP1 hingga RP5 di bawah RMK12. Terengganu hanya menerima sekitar 2.7 peratus (RM7.49 juta) daripada jumlah keseluruhan, berbeza dengan Johor (8.1%), Selangor (5.6%) dan Pahang (5.2%).
Beliau menegaskan, melabel tuntutan hak negeri sebagai “mengemis” menunjukkan kegagalan memahami fungsi fiscal federalism dalam pentadbiran negara.
Bagi isu pembayaran royalti petroleum, Mohd Harun menjelaskan bahawa Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) adalah hak mutlak Terengganu berdasarkan perjanjian dan akta yang diguna pakai.
“Walaupun jumlah DKKP 2024 kelihatan besar iaitu RM1.553 bilion, hanya RM733.05 juta dibayar terus ke Perbendaharaan Negeri dan digunakan khusus untuk emolumen serta bantuan kewangan penjawat awam.
“Baki dana disalurkan melalui kaedah lain, termasuk RM644.30 juta dibayar terus kepada pembekal, kontraktor atau penerima manfaat projek tanpa melalui akaun negeri, serta RM175.72 juta dipotong oleh Kementerian Kewangan sebagai bayaran balik hutang dan pendahuluan.” jelasnya
Oleh itu, bagi unjuran 2025, Mohd Harun menjangkakan hanya RM583.35 juta akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan beliau menyimpulkan bahawa ketidaktentuan jadual dan kaedah pembayaran serta birokrasi adalah tekanan politik, bukan isu teknikal kewangan semata-mata.





