Home Berita PAS Sabah

Dalam Perjuangan Islam, ada mehnah dan tribulasi

374
SHARE

Oleh : Yusrizal Baco
15 Februari 2023

LAHAD DATU : “Dalam perjuangan islam ini, sudah pasti tidak lekang dengan fitnah, ujian, mehnah dan tribulasi,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS, Ramli Pataruddin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Silam, di sini pada Ahad.

Beliau berpesan, bagi menghadapi mehnah, ahli seharusnya perbanyakkan munajat, berdoa dan sentiasa perbaharui niat supaya kekal istiqamah dalam perjuangan.

“Selain daripada itu, perlu taat pada arahan pimpinan dengan mengambil perhatian terhadap apa sahaja ucapan pimpinan.

“Ini penting untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam perjuangan sekaligus dapat menambahbaik lagi gerak kerja parti,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Lahad Datu.

Menurutnya lagi, parti akan kukuh apabila ahli PAS sendiri mengambil tindakan dengan setiap arahan dan pesanan pimpinan, apatah lagi ketika berhadapan fitnah yang menyerang PAS.

Sementara itu, dalam ucaptama Ketua PAS Cawangan Silam, Ustaz Zaki Ibrahim, menyeru ahli untuk menjadi ahli al-Quran sebagai pendinding kepada fitnah akhir zaman.

Katanya, sebahagian para pengundi bukan tidak mahu menerima PAS, namun mereka menerima terlalu banyak maklumat yang tidak benar terhadap PAS.

“Hakikatnya PAS bertubi-tubi disebarkan berita yang tidak benar sehingga menjadi fitnah, menyebabkan PAS sukar mendapat pandangan baik daripada rakyat,” ujarnya.

Beliau turut memetik hadis Rasullullah, iaitu fitnah ini bagaikan potong malam, ibaratnya berkeping keping, yang menunjukkan bahawa fitnah itu datang secara bertali arus, maka perlu siapkan diri dengan sebarang kemungkinan untuk melindungi diri.

Tambahnya lagi, antara contoh fitnah besar yang boleh diambil iktibar ialah ada segolongan mereka ini yang dulu cakap lain, sekarang cakap lain, semua yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan kuasa.