Oleh : RR
KUALA TERENGGANU – Pendekatan dakwah dan tarbiah terhadap Generasi Z perlu diubah suai agar lebih relevan dan selari dengan kehendak dan cabaran semasa.
Ketua Ameerah Kemaman, Siti Nur Radhiah Alias berkata, golongan muda hari ini berdepan krisis identiti dan kekeliruan maklumat akibat ledakan media sosial, menjadikan mereka lebih terdedah kepada ideologi liberal, hedonisme dan relativisme nilai.
“Marilah kita mengubah pendekatan dakwah dan tarbiah kita dari program kaku kepada pendekatan yang relevan, dari ceramah satu hala kepada dialog dua hala, dari menghukum kepada membimbing.
“Kita juga tidak mahu akhirnya Gen-Z hanyalah sekadar menjadi ahli usrah sahaja, tetapi mudah-mudahan melalui proses tarbiah dan perkaderan yang tepat, generasi ini berjaya menjadi amyli murabbi dan qiyadah yang menghidupkan dakwah dan tarbiah Islam dalam kehidupan serta masyarakat.
“Bahasa dakwah kita kadangkala terlalu keras atau asing, sedangkan generasi ini mahukan bimbingan, bukannya hukuman,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan, dakwah tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama yang kaku dan satu hala, sebaliknya perlu menyantuni jiwa Gen Z dengan gaya komunikasi berempati, asli dan mesra jiwa muda.
Mengulas mengenai perbahasan berkait Dakwah Dan Tarbiyyah Untuk Gen-Z, di Ijtimak Kepimpinan PAS Sabtu lalu, beliau menambah, Ameerah Terengganu menggariskan tiga langkah utama sebagai solusi, antaranya memahami dunia Gen Z melalui penguasaan media digital dan konten kreatif.
Selain itu, kata beliau, mewujudkan ekosistem dakwah selamat dan progresif dengan naratif positif, serta melibatkan mereka dalam aktiviti kebajikan dan misi kemanusiaan.
“Kalau kita tidak serius mendekati Gen Z, musuh Islam sedang mendekati mereka setiap jam, setiap minit dan setiap saat,” tegasnya.
Justeru itu, beliau menyeru agar pendekatan dakwah dan tarbiah diubah daripada program yang kaku kepada strategi lebih responsif dan praktikal, demi membina generasi pelapis, mampu menghidupkan perjuangan Islam pada masa hadapan.