Oleh : HABSAH ALI
TEMERLOH, 26 Februari – Penduduk di Taman Gau Permai terpaksa menebang dahan pokok yang menghalang laluan pusingan bas yang membawa rombongan muslimat dari Surau Taman Beserah Kuantan, ke Maahad Tahfiz Al-Istiqamah baru-baru ini di sini.
Menurut pemandu bas Mohd Zulkifli, beliau telah beberapa kali berusaha untuk mengelak dahan pokok tersebut, yang berisiko menyebabkan cermin bas pecah dan kerosakan pada kotak penghawa dingin yang terletak di bumbung bas.
“Alhamdulillah, ada penduduk di taman yang sudi membantu menebang dahan tersebut. Sebelum itu, hampir sejam saya cuba mengelak dahan dengan mengambil jarak yang sesuai atau menukar laluan, namun tidak berjaya,” katanya.
Sebelum kejadian itu, bas berkenaan juga terpaksa menurunkan penumpang kira-kira 150 meter dari pusat Maahad Tahfiz disebabkan keadaan jalan yang sempit dan belum diturap. Keadaan itu menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan, namun pihak Maahad Tahfiz telah menyediakan kenderaan khas bagi mengambil warga emas yang turut menyertai rombongan tersebut.
Seorang ahli rombongan berkata, lawatan itu diadakan untuk melihat perkembangan pembinaan institusi tahfiz dan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perancangan pembukaan pondok moden bagi orang dewasa yang ingin menimba ilmu agama.
“Alhamdulillah, setelah melihat perkembangan yang memberangsangkan dan mendengar taklimat daripada Pengetua Ustaz Zuraimi Abu Zih, kami semakin termotivasi untuk terus menyumbang. Kami yakin Maahad Tahfiz ini mampu melahirkan generasi huffaz yang berjaya di dunia dan di akhirat,” tambahnya.
Bagi yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Rakyat 1100059448 atas nama Maahad Tahfiz Al-Istiqamah atau menghubungi talian 019-9610849 untuk maklumat lanjut.