Firman Allah SWT:
لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ ٤
“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (1) (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas. (2) Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan (Allah) Pemilik rumah ini (Kaabah). (3) (Tuhan) yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” [Surah Quraisy: 1-4]
Kedatangan Islam pada akhir zaman dengan pelantikan rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW, telah disebutkan dalam semua kitab suci agama yang telah diselewengkan.
Sebenarnya, kedatangan Islam itu telah diatur oleh Allah ke bumi Makkah yang gersang tanpa hasil bumi, bermula dengan penguasaan perdagangan oleh kabilah Arab Quraisy daripada zuriat Nabi Ibrahim AS atau Abraham AS. Baginda telah diperintahkan Allah meletakkan keluarganya yang melahirkan kaum Arab Quraisy di Makkah, seterusnya dibangunkan kemanusiaannya dengan hidayah Allah.
Setelah itu, kaum Arab Quraisy menguasai ekonomi melalui perdagangan antarabangsa pada zaman itu. Akhirnya, dilindungi oleh negara Islam yang menjadi kuasa politik besar yang menegakkan keadilan kepada seluruh dunia, sehinggakan negara Islam dapat menguasai ekonomi, bukan sahaja politiknya yang berkonsepkan ibadat kepada Allah Yang Maha Esa dan menghadap ke arah satu kiblat yang sama, iaitu Kaabah yang dibina oleh Ibrahim AS dan Isma‘il AS.
Di samping itu, negara Islam turut beroleh kejayaan dalam ujian perjuangannya menentang syirik yang melahirkan kezaliman. Turut disertakan doa Nabi Ibrahim AS kepada Allah setelah diisytiharkan menjadi rasul pemimpin manusia kerana kejayaan Baginda melepasi ujian keimanan dengan ikhlas hanya kepada Allah. Firman Allah SWT:
۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikan kamu imam (pemimpin teladan) bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan aku mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” [Surah al-Baqarah: 124]
Seterusnya, Allah SWT juga berfirman:
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَٰذَا بَلَدًا ءَامِنٗا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡهُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلٗا ثُمَّ أَضۡطَرُّهُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ ١٢٦
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa, ‘Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Makkah), sebuah negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian antara mereka. Allah berfirman, ‘Dan kepada orang yang kafir juga Aku berikan kesenangan sementara, kemudian Aku memaksanya untuk menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.’” [Surah al-Baqarah: 126]
Pada awalnya, kerasulan Nabi Muhammad SAW ditolak oleh para pemimpin Makkah yang tidak percaya kepada ketetapan Allah, sebagaimana yang disebut dalam firman Allah SWT:
وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧
“Dan mereka berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami.’ Dan apakah Kami (Allah) tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mengetahui.” [Surah al-Qasas: 57]
Akhirnya, ditegakkan negara Islam sebagai kuasa besar tunggal yang dibuktikan kejayaannya berpandukan firman Allah SWT:
مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧
“Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk-penduduk kota, maka ia adalah untuk Allah, untuk rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan. (Ketetapan itu) supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang-orang kaya sahaja antara kamu. Dan apa jua perintah yang diberikan Rasul kepada kamu, maka terimalah (serta amalkannya). Dan apa jua yang dilarangnya ke atas kamu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya, Allah amat keras hukuman-Nya.” [Surah al-Hashr: 7]
Ayat ini menerangkan sistem ekonomi yang adil kepada semua.
Sejarah perkembangan Islam menunjukkan bahawa ekonomi dan perdagangan juga berperanan besar dalam kemajuan dakwah dan tarbiah ke seluruh pelosok dunia. Seterusnya, berjaya menubuhkan sebuah negara besar Islam yang benar-benar bersifat madani yang menjadi tabii manusia mengikut hidayah Allah sehingga negara itu dinamakan Madinah.
Nama tersebut bermaksud menjadi tempat dikumpulkan tamadun berkonsepkan al-din (Islam) sehingga berkembang ke seluruh pelosok dunia. Kedatangannya dianggap sebagai penyelamat, bukan penjajah. Malah, ia telah berjaya mewujudkan dunia yang adil dan aman selama beberapa abad pada zaman keemasannya.
Namun begitu, keadaan bertukar apabila Islam dijatuhkan kerana kelemahan penganutnya.
Kini, dunia dikuasai oleh ideologi ciptaan manusia yang saling berlumba-lumba dan rakus bertuhankan kebendaan, sehingga mencetuskan perang ekonomi dan perang dunia bersenjata yang mengorbankan manusia sendiri. Bermula dengan tercetusnya Perang Salib dengan cara pelayaran perdagangan melalui syarikat negara penjajah, serta perang salib bersenjata dan penguasaan politik. Kesudahannya, terciptalah tamadun Barat yang meruntuhkan kemanusiaan.
Manusia wajib diselamatkan bersama Islam. Namun, tugas ini sangat mencabar kerana ia ditentang oleh kuasa besar yang menjajah, sehingga membunuh politik Islam dan menyekat kuasa ekonomi serta perdagangannya. Walaupun negara Islam dikatakan sudah merdeka, tetapi rangkaian penjajahan masih mengepung, bahkan hasil negara dan manusianya tidak boleh dimanfaatkan.
Maka, penubuhan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun atau D-8 (D-8 Organization for Economic Cooperation) merupakan satu langkah untuk kembali semula kepada Islam yang pasti mendapat tentangan daripada kuasa penjajah. Kuasa ini telah sekian lama merosakkan dunia dengan perlumbaan ekonomi yang bertukar kepada perlumbaan politik dan peperangan bersenjata. Firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
Kedudukan bumi Islam yang strategik dalam peta dunia sehingga menghubungkan semua penjuru dunia, ditambah pula dengan kurniaan hasil bumi dan tenaga manusia yang cukup, sepatutnya mampu membawa perubahan.
Oleh itu, D-8 merupakan sebuah kumpulan negara-negara membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi bagi meneruskan perjuangan kemerdekaan yang belum selesai.
Apabila bergabung, negara-negara ini membentuk 13.5 peratus daripada populasi global pada tahun 1997. Pada waktu itu, gabungan ini dianggotai oleh negara Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.
Kumpulan ini ditubuhkan selepas satu pengumuman di Istanbul, Turki, pada 15 Jun 1997. Keahliannya terbuka kepada negara-negara lain daripada kalangan negara-negara ahli pada masa kini walaupun tiada perancangan untuk menambah ahli.
Objektif D-8 adalah untuk membangunkan kedudukan negara-negara membangun dalam sektor ekonomi, mempelbagaikan dan mencipta peluang-peluang baru dalam perhubungan perdagangan, meningkatkan penglibatan dalam proses membuat keputusan pada peringkat antarabangsa, dan memberikan kehidupan yang lebih baik.
Fokus kerjasama yang utama adalah dalam sektor kewangan, perbankan, pembangunan luar bandar, sains dan teknologi, pembangunan insan, pertanian, tenaga, alam sekitar dan kesihatan.
Persetujuan Perdagangan Utama
Perwakilan setiap lapan negara membangun kecuali Bangladesh telah memeteraikan satu Persetujuan Perdagangan Utama pada 14 Mei 2006 semasa Kemuncak D-8 ke-5 di Bali, Indonesia. Persetujuan ini dirangka untuk mengurangkan tarif barangan tertentu antara negara ahli secara beransur-ansur, dengan diawasi oleh satu jawatankuasa penyeliaan. Tujuannya supaya halangan terhadap perdagangan bebas antara negara ahli dapat dikurangkan, dan kerjasama antara negara dapat ditingkatkan.
Struktur D-8
D-8 mempunyai tiga badan iaitu Sidang Kemuncak, Majlis dan Suruhanjaya. Sidang Kemuncak, yang bersidang setiap dua tahun, merupakan kuasa tertinggi, dan terdiri daripada pemimpin setiap negara. Majlis pula merupakan badan utama yang bertanggungjawab membuat keputusan dan forum bagi mempertimbangkan isu yang berkaitan dengan D-8, dan terdiri daripada menteri luar negeri setiap negara.
Suruhanjaya pula mempunyai kuasa eksekutif, dan terdiri daripada pesuruhjaya yang dilantik oleh setiap negara ahli. Pesuruhjaya bertanggungjawab menggalakkan pematuhan keputusan D-8 di negara masing-masing. Seterusnya, terdapat seorang pengarah eksekutif yang dilantik untuk memudahkan perhubungan dan bertindak sebagai penyelia di setiap sidang kemuncak atau perhimpunan lain.
Penubuhan D-8 telah dicetuskan oleh Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan, mantan Perdana Menteri Turkiye dan disokong oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia, dan berjaya mengumpulkan lapan buah negara yang menaja penubuhannya.
Penubuhan ini wajar bagi negara Islam yang dikurniakan sumber ekonomi daripada berbagai-bagai komoditi bahan mentah atau hasil utama yang diniagakan dalam kuantiti yang banyak. Ia adalah bahagian penting dalam kehidupan seharian kita kerana ia digunakan untuk membina blok asas ekonomi global.
Di samping itu, negara Islam juga mempunyai tenaga manusia yang banyak dari segi kepakaran dan tenaga kerja yang sepatutnya boleh diatur dengan baik. Kita juga mempunyai jalan perhubungan yang menghubungkan negara Islam dengan seluruh benua, serta adanya pasaran dunia Islam yang mencukupi di samping keperluan seluruh dunia kepada kita.
Selama ini, Dolar Amerika Syarikat (USD) telah menjadi mata wang antarabangsa terkemuka di dunia kerana pelbagai sebab yang terdiri daripada faktor ekonomi, politik dan sejarah. Dianggarkan kira-kira 60 peratus daripada semua rizab tukaran asing yang dipegang oleh bank pusat adalah dalam USD, manakala kira-kira 40 peratus daripada perdagangan global turut dinisbahkan kepada USD. Ini telah menjadikan USD sangat dominan dalam perdagangan global dan turut dipanggil sebagai hegemoni USD.
Hegemoni USD dalam sistem kewangan global telah memberikan kuasa kepada negara Amerika Syarikat untuk menentukan serta mempengaruhi kesejahteraan global. Pada masa yang sama, dengan kuasa yang ada, negara Uncle Sam itu sering memperguna mata wang dan dasar monetari mereka sebagai senjata untuk menguasai ekonomi dunia.
Walau bagaimanapun, sebahagian pengkritik berpendapat bahawa hegemoni ini telah memberi pelbagai kesan negatif selain mewujudkan banyak ketidakseimbangan dalam sistem kewangan global yang turut membawa kepada krisis kewangan dan ketidakstabilan ekonomi dunia. Sebagai contoh, krisis kewangan Asia pada tahun 1997 sememangnya berpunca daripada kenaikan mendadak kadar faedah USD oleh Bank Negara Amerika (Federal Reserve).
Oleh yang demikian, beberapa negara seperti gabungan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) telah menyatakan hasrat untuk mencipta mata wang global baharu yang bertujuan mengurangkan pergantungan dunia kepada USD. Mata wang global baharu ini diharap mampu memberi pelbagai faedah kepada sistem kewangan global seperti memperkukuh integrasi ekonomi dalam negara BRICS itu sendiri, mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat di pentas global dan melemahkan kedudukan USD sebagai mata wang rizab antarabangsa.
Maka, terdapat dalam agenda D-8 bagi memperkenalkan Dinar Islam menjadi alternatif baharu demi kemerdekaan ekonomi dunia Islam. Namun begitu, ia pastinya mendapat tentangan keras negara-negara Barat dan sekutunya.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba menyambung semula langkah D-8 kepada matlamat yang lebih besar. Malangnya, hanya empat negara sahaja yang menyahut seruan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit).
Ketidakhadiran Perdana Menteri Malaysia kini yang membawa slogan Madani menunjukkan perjuangannya bukan Madani Islam yang sebenar bersempena bandar Madinah yang dinamakan oleh Rasulullah SAW. Akan tetapi, perjuangannya bergantung kepada Madani Jahiliah seperti Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock.
Keadaan ini menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan kita belum selesai kerana masih berada di bawah wakil penjajah yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) yang masih berkiblatkan White House dan mengucup BlackRock.
Kenyataan-kenyataan anti-Islam yang berani oleh DAP dan rakan-rakan berwajah Melayu seperti PKR, UMNO dan PAN yang menjadi juru pembelanya yang bersuara bagi pihaknya, sangat nyata wala’ (kesetiaan) kepada musuh Islam.
Sesungguhnya, perbuatan ini telah diberi amaran oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨ هَـٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيْـًٔا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang dari luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-henti (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sesungguhnya, Kami telah terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. (118) Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” [Surah Ali ‘Imran: 118-120]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredaan-Ku (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahu secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan sesiapa antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat daripada jalan yang lurus.” [Surah al-Mumtahanah: 1]
Sebab turunnya wahyu pada zaman awal Islam tetap berulang dalam segala aspek ekonomi, politik, undang-undang dan lain-lain. Inilah sebab Majlis Syura Ulamak PAS membuat keputusan bahawa PAS tidak lagi bertahaluf dan berta‘awun dengan jajaran tersebut.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Jumada al-Akhirah 1446 / 31 Disember 2024
[Bil: 61 / 2024]