Home Rencana PAS Johor

Cuti Jumaat mengagungkan syiar Islam tanda taqwa

80
SHARE

Firman Allah S.W.T :

ذٰلِكَ وَمَنْ يُّعَظِّمْ شَعَاۤىِٕرَ اللّٰهِ فَاِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوْبِ.

Mafhumnya : “Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati”.

Surah Al-Hajj : 32

Berdasarkan ayat di atas, Allah S.W.T menegaskan bahawa orang yang mengutamakan syiar Allah (Islam) maka itu sebahagian daripada tanda takwa di dalam hatinya.

Syiar Islam amat luas pemahamannya. Ianya meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Akidahnya, syariatnya, juga peradabannya.

Islam mendidik umatnya cara berpakaian, bekerja, bergaul dan sebagainya sehingga cara mentadbir negeri dan negara agar ianya selari dengan kehendak Syarak (Maqasid Syariat Allah).

Hari Jumaat merupakan hari besar mingguan bagi umat Islam. Padanya disyariatkan kefarduan utama kepada lelaki Muslim iaitu solat Jumaat. Memuliakan hari Jumaat juga termasuk di dalam memuliakan syiar Allah (Islam) kerana dengan memberikan cuti pada hari Jumaat bererti pihak pemerintah telah berusaha memberikan kemudahan kepada rakyatnya untuk hadir menunaikan ibadah solat Jumaat.

Walaupun Islam tidaklah melarang umatnya bekerja pada hari Jumaat, namun jika diberi pilihan adalah lebih utama untuk kita melapangkan waktu pada hari tersebut agar ianya tidak menjadi alasan untuk pekerja Muslim tidak hadir solat fardu Jumaat.

Hari Jumaat juga boleh dijadikan sebagai hari keutamaan untuk beribadah dan menuntut ilmu bagi mendapatkan keberkatan yang luas daripada Allah S.W.T.

Justeru saranan PAS Johor agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi Menteri Besar Johor dan seluruh saf kepimpinannya agar mengekalkan cuti hari Jumaat dengan diselaraskan cuti semua sektor awam dan swasta kepada hari Jumaat.

PAS Johor mendoakan semoga YAB Menteri Besar dan seluruh saf kepimpinan Johor sentiasa di dalam rahmat dan perlindungan Allah.

‘Bangsa Johor Bangsa Berdaulat’

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor.