Wangsa Maju, 11 November 2017 – Gerak Gempur Culaan Mega 3.0 anjuran Jabatan Pilihanraya (JPr) Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) bagi Parlimen Wangsa Maju (P116) telah diadakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia dengan kerjasama JPr Kawasan Wangsa Maju.
Jentera telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang dibekalkan dengan bahan-bahan seperti harakah, risalah BPMS & Dokumen Hijau untuk diberikan kepada para pengundi.
Culaan bermula jam 8.30 pagi dengan taklimat peraturan kepada para petugas oleh Pengarah JPr Kawasan, Saudara Izamudin bin Ludin di Surau Nurul Muttaqin, Taman Melati.
Beliau dalam ucapannya mengalu-alukan semua ahli PAS dari kawasan-kawasan lain yang hadir membantu dan sekaligus memeriahkan lagi culaan tersebut.
“Ini adalah program berkala yang dijalankan di kawasan-kawasan bertanding dan Wangsa Maju merupakan tuan rumah ketiga selepas Titiwangsa dan Bandar Tun Razak yang turut mengadakan culaan mega demi menyantuni pengundi di kawasan masing-masing.” tambah beliau lagi.
Beliau juga menjelaskan bahawa program ini bertujuan bagi mendekati para pengundi di Parlimen P116 Wangsa Maju khususnya pengundi di PPR Gombak Setia seterusnya membina gelombang hijau di Wangsa Maju.
“Alhamdulillah melalui gerak gempur ini, kita mendapat pelbagai respon positif terhadap PAS termasuk daripada kaum India yang bersedia memberi sokongan kepada PAS dalam Pilihanraya Umum ke 14 akan datang”, ujar beliau teruja.