Home Berita PAS Terengganu

Cukai dikaut Persekutuan, Kuasa Negeri terbatas

11
SHARE

KEMAMAN – Sektor pertanian dan pelancongan Terengganu menjadi pemangkin utama kepada peningkatan ekonomi rakyat, namun hasil cukai yang diperolehi sebahagian besarnya disalurkan kepada kerajaan Persekutuan dan bukan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata empat negeri SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menyumbang sebanyak 71 peratus daripada keperluan makanan ruji negara, manakala sektor pertanian negeri mencatatkan pertumbuhan sebanyak 70.4 peratus pada tahun 2023 berbanding penguncupan 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Bagi sektor pelancongan pula, Terengganu berjaya menerima kehadiran 7.8 juta pelancong pada tahun 2024, jauh melebihi sasaran asal sebanyak 4.5 juta.

“Limpahan ekonomi ini turut dinikmati oleh para pengusaha makanan tempatan seperti nasi dagang, sata dan keropok lekor, serta pelbagai perkhidmatan berkaitan pelancongan seperti bot ke pulau, candat sotong dan memancing,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam.

Namun, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa hasil langsung kepada kerajaan negeri adalah sangat minima kerana ketiadaan sempadan imigresen yang membolehkan kutipan cukai secara langsung ke atas pelancong.

“Hasil utama kerajaan negeri hanyalah cukai katil (bed tax) bagi mereka yang menginap di hotel, manakala cukai pendapatan yang dibayar oleh syarikat hotel dan peniaga disalurkan terus kepada kerajaan pusat.

“’Income tax’ tak dibayar kepada kerajaan negeri. Dibayar kepada kerajaan pusat. Oleh kerana itu, apabila pelancong mari ramai, sebenarnya yang mendapat hasil yang banyak bukan sangat kerajaan negeri tetapi kerajaan pusat,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar kerajaan pusat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan negeri dalam menguruskan hasil dan pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Tak boleh dah nak hidup, nak beroperasi negeri dan negara dan Malaysia ini dengan cara yang berasingan atau nak berseteru dengan negeri.

“Itu cara lama. Politik tahun tak tahu zaman bila. Nak bergaduh dengan negeri,” ujarnya.