Home Berita PAS Terengganu

Cucuk vaksin kerana rindukan anak cucu

14
SHARE

HULU TERENGGANU – ”Anak ‘kabo’ kalau nok jupe (jumpa) macam dulu, kena cucuk vaksin, baru selamat,” ujar Rashid Kassim, 76, dari Kampung Jerangau Barat.

Dia yang rela hati untuk hadir bagi menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac berkata, ia merupakan satu jalan paling selamat untuk membolehkannya bertemu semula anak-anak serta cucu yang sangat dirindui.

“Dalam keadaan sekarang ni, insya-Allah hanya ikhtiar cucuk vaksin mampu menyelamatkan kita, tidak perlu takut bukan sakit pun, lagipun doktor ada sama bagi nasihat.

“Dulu memang takut sebab pak cik ni banyak sangat penyakit macam strok, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi, takut la sebab dengar banyak cerita yang tak betul tapi anak-anak kata kalau tak cucuk tak boleh jumpa dan rentas negeri,” katanya yang mempunyai 10 anak dan 28 cucu ketika ditemui di PPV Sekolah Menengah Kebangsaan Landas, baru-baru ini.

Lain pula bagi Mohammad A Bakar, 71, ingin mengambil suntikan vaksin Covid 19 sebagai pertahanan dirinya yang sudah berusia dan mempunyai masalah usus dan saraf.

“Orang kata kalau ada penyakit dan sudah berumur, Covid-19 mudah dijangkiti sebab badan kita tak kuat jadi pak cik ambil keputusan nak cegah dulu sebelum terjadi apa-apa.

“Dah dua bulan sakit tak boleh gerak tapi semangat kuat kerana isteri, anak-anak dan cucu-cucu. Ini bukan tentang keselamatan kita sahaja tapi semua orang yang kita sayang,” ujarnya yang ditemani isteri tersayang, Aminah Osman, 71.