Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu DTI Machap Umboo

416
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 11 Mac : Satu Kluster baharu di negeri Melaka telah dikenalpasti iaitu Kluster DTI Machap Umboo, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut JKNM, ia dikesan apabila terdapat 83 orang OKT yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan pra-pengusiran dan saringan kontak yang dijalankan daripada 18 Februari hingga 9 Mac baru-baru ini.

Tambah JKNM lagi, selain kluster baharu ini, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Teknologi Berendam, Kluster Jalan Haji Malek dan Kluster Teknologi Lot Enam.

Kata laporan itu lagi secara keseluruhan sebanyak 71 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan empat daripadanya adalah kes tempatan sementara 67 lagi adalah banduan/OKT/PATI.

Menurut JKNM, berdasarkan daerah, daripada 71 kes itu, 68 kes dikesan di daerah Alor Gajah dan tiga kes lagi dikesan di Melaka Tengah.

JKNM juga melaporkan sebanyak 25 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 140 kes masih dirawat di Hospital Melaka termasuk satu kes ICU.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 23 mukim berada di zon hijau, lapan mukim lagi berada di zon kuning sementara tiada mukim berada di dalam zon jingga atau zon merah.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 13 mukim di dalam zon hijau; 16 mukim di dalam zon kuning dan tiada mukim di dalam zon jingga atau zon merah.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 13 adalah di dalam zon hijau dan lapan lagi adalah dalam zon kuning sementara tiada mukim dalam zon jingga atau zon merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1647 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 712 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 170 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 319,364 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.