Home Minda Presiden

Covid-19: Apakah Langkah Selepasnya?

781
SHARE


Minda Presiden PAS

COVID-19: APAKAH LANGKAH SELEPASNYA?


Covid-19 merupakan krisis kemanusiaan yang berlaku tanpa mengira perbezaan agama dan kaum sehingga menjadi cabaran global yang perlu dihadapi bersama dalam satu keluarga manusia yang besar, seperti dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾ (الحجرات: 13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih ketaqwaannya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

Kita menyaksikan kerapuhan pakatan kerjasama antara negara-negara termasuk negara maju dan kuasa besar dari sudut politik, ekonomi dan ketenteraan. Masing-masing membawa diri (nafsi nafsi) sepertimana yang akan berlaku pada Hari Kiamat, bahkan sudah ada tuduh-menuduh sesama sendiri, padahal masih berada di alam dunia. Persaudaraan mereka hanya berasaskan kepada kenyataan lisan dan tulisan sahaja, seperti tidak berpijak di alam kenyataan.

Dalam menghadapi situasi seperti ini, tamadun Islam pernah mencipta sejarah beberapa kali. Oleh itu, jangan hanya sekadar membaca kitab Feqah dan Tasawuf sahaja, bacalah juga kitab sejarah. Tercatat dalam sejarah bagaimana Islam mampu menghadapi bencana wabak penyakit, peperangan yang mengancam keselamatan sehinggalah bencana alam.

Pelaksanaan Maqasid al-Syariah iaitu memelihara agama menunjukkan kepada kewajipan menjaga nyawa, keluarga, maruah dan harta, sehingga berlakunya tindakan keras oleh pihak berkuasa. Masjid terbesar dikosongkan, Solat Jumaat dan solat berjemaah tidak dilaksanakan, majlis ilmu dibatalkan, bahkan aktiviti pasar terhenti, termasuk apa yang pernah berlaku di Masjid al-Haram di Makkah, Madinah dan Masjid al-Aqsa. Begitu juga di Masjid al-Azhar, Mesir dan Andalus (Sepanyol) di Asia Tengah pada zaman kekuasaan Islam.

Mereka melupakan perbezaan agama, mazhab dan politik dalam masyarakat yang majmuk. Walaupun ada yang menganut Mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij dalam kerajaan yang berpecah belah dan ulama’ yang berkhilaf, termasuk mereka yang berpendapat boleh diadakan Sembahyang Jumaat dengan jumlah yang paling kecil kurang empat puluh orang. Namun, mereka bersatu demi melaksanakan Maqasid al-Syariah bagi menjaga nyawa setiap individu manusia yang lebih diutamakan tanpa dipersoalkan akan keikhlasannya, kerana persoalan ikhlas adalah urusan Allah, bukan urusan manusia.

Kita percaya bahawa Allah Maha Penyayang dan Pengampun kepada hambaNya, khusus bagi mereka yang berada dalam kesusahan hidup di dunia. Mereka yang mati diberikan kelebihan ganjaran syahid berada di barisan hadapan kerana bersabar menjalankan tugas menyelamatkan manusia yang menghadapi bencana atau bersabar atas nasib yang menimpa diri sendiri menjadi mangsa wabak, dan mendapat pahala redha kepada Allah SWT setelah berikhtiar mencegah penyakit.

Kita akan menghadapi situasi selepas bencana yang lebih besar cabarannya, kerana kesan kepada diri manusia secara peribadi, ekonomi dan mempengaruhi politik serta keselamatan dan keamanan dunia secara menyeluruh. Kini PBB hanya bersuara sahaja, sehingga cadangan persidangan di peringkat Majlis Keselamatan gagal mencapai kata sepakat dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19. Apakah keadaannya kini akan pulih dalam masa yang cepat? Sekalipun sudah pulih, ia tidak akan kembali seperti asal dalam tempoh yang singkat.

Di peringkat negara sendiri, kita perlu mengambil langkah keutamaan sewaktu wabak ini sedang menyerang, dengan memilih perkara yang terpenting dahulu dan menstabilkan kehidupan rakyat dengan berbelanja mengikut perkara yang menjadi keutamaan seperti makanan, menjaga kesihatan dalam mencegah dan merawat, memelihara keselamatan dan sebagainya.

Keutamaan menjaga nyawa didahulukan dan memelihara hubungan yang erat di antara kerajaan dan rakyat, tanpa mempedulikan terhadap mereka yang masih menyalak tidak memahami situasi kritikal yang sedang dihadapi. Kita berpegang kepada pepatah, “Biar anjing dan serigala menyalak di keliling, namun musafir tetap meneruskan perjalanannya menuju destinasi.”

Maka langkah bagi menghadapi cabaran yang lebih besar pasca Covid-19 hendaklah difikirkan dahulu sebelum berlaku perkara yang di luar jangkaan kita yang berbeza daripada perkara yang dirancang.

Mereka yang telah meninggal dunia, sudah selesai urusan mereka di dunia. Sekarang kita memikirkan mereka yang masih hidup termasuk generasi akan datang.

Setiap rakyat boleh memberi sumbangan masing-masing secara fardhu ain (wajib ke atas tiap-tiap seorang) dan fardhu kifayah secara bekelompok mengikut tahap keilmuan dan kemahiran, sehingga tiada yang terkecuali seorang pun. Laksana kata-kata hikmah, “Yang gagah menumbuk padi, yang tempang menghalau ayam, yang buta menghembus lesung.”

Teruskan program pembangunan modal insan mengikut acuan Allah Pencipta Alam dengan membina jasmani dan rohani, iman, ilmu pengetahuan dan akhlak yang budiman. Pada masa yang sama, menambah ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah dalam aspek aqidah, syariat, akhlak dan semua urusan keperluan hidup manusia.

Manfaatkan sumber bumi yang masih melimpah ruah bagi menjana ekonomi negara sehingga tiada lagi yang dibocor dan terbocor sama ada sumber di atas muka bumi, dalam perut bumi dan perairan laut negara kita.

Dalam masa yang sama, meningkatkan kerjasama yang lebih erat dengan masyarakat antarabangsa dan negara. Utamakan negara sahabat serantau dan seagama serta negara yang boleh bersahabat walaupun tidak seagama dan serumpun kerana ada perikemanusiaan.

Majoriti manusia bertuhankan ekonomi yang hanya menjadi satu rukun hidup yang tidak boleh ditinggalkan, namun ekonomi itu bukan tuhan yang disembah. Manusia wajib mencari keperluan kehidupan, tetapi makan untuk hidup beribadat dan berkhidmat bagi memakmurkan bumi, bukannya hidup untuk makan seperti binatang yang bernafsu tidak berakal, sehingga fikirannya di perut bukan di kepala yang mulia, menyebabkan boleh melakukan apa sahaja.

Era dunia moden yang maju ini telah berlaku dua perang dunia yang mengorbankan jutaan manusia bermula dengan perang ekonomi yang rakus. Mudah-mudahan tidak berlaku situasi yang lebih parah dengan doa agar dilindungi oleh Allah SWT. Namun Allah SWT telah memberi amaran kepada manusia yang berakal:

﴿لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ١١﴾ (الرعد: 11)

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tiada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (Surah al-Ra’d: 11)

Allah SWT juga berfirman setelah dilihat berlakunya kesilapan manusia sendiri:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾ (الروم: 13)

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Sya’ban 1441 / 14 April 2020