Home Rencana PAS Johor

Coretan : Ngeri

380
SHARE

 – NGERI –

Siri Suka Duka Bersama PAS

Oleh : BASRI DIN KAMAR

Mereka hendak kutuk PAS atau kutuk Islam? Kadang-kadang saya rasa ‘ngeri’ melihat gelagat mereka.

Seolah-olah sedang “troll” dan bergurau senda di tepian neraka!

Anda hendak kutuk PAS berbohong, itu anda punya pasal.

Tapi janganlah sampai kutuk ajaran Islam yang membenarkan berbohong atas tujuan maslahat.

Mereka kutuk konsep wala’ yang disinonimkan dengan sikap jumud dan tertutup sehingga hilang rasional.

Sedangkan wala’ itu bukan ajaran PAS. Ia adalah ajaran Islam.

Individu yang sangat tinggi wala’nya adalah Saidina Abu Bakar.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w menceritakan baginda ke Baitul Maqdis, kemudian naik ke langit dan kembali semula ke Mekah dalam satu malam, orang musyrikin “troll” baginda kerana bawa cerita tidak masuk akal.

Tetapi Abu Bakar berkata (dengan maksud lebih kurang),

“Kalau Muhammad yang bawa cerita ini, lebih dari itu pun aku percaya.”

Adakah Abu Bakar berpemikiran jumud dan tertutup hingga hilang rasional?

Anda hendak kutuk orang PAS jumud dan tidak rasional, itu anda punya pasal.

Tapi janganlah sampai “troll” kalimah wala’ yang mulia itu.

Mutakhir ini mereka persenda pula tentang dalil. Ada yang berkata,

“gigih jabatan dalil buat kerja ye” serta meletakkan emoji ‘ketawa’.

Astaghfirullah, saya memang rasa ‘ngeri’ tengok “troll” begini.

Rasa hendak luruh jantung ini.

Sedangkan dalam ajaran Islam, setiap detik, setiap hela nafas, kita tidak boleh lari dari salah satu dari 5 hukum ini;

Wajib, sunat, harus, makhruh, haram“.

Sememangnya dalam ajaran Islam setiap perbuatan kita perlu disokong oleh dalil yang mengizinkannya.

Kalau hidup tidak disandarkan pada dalil agama, jadi hendak disandarkan pada apa? Pada kalam Karl Marx dan Mahatma Gandhi? Pada kemahuan nafsu dan syaitan?

Anda hendak kutuk PAS salah guna dalil atau tunggang agama, itu anda punya pasal.

Tapi janganlah dipersenda perbuatan mengemukakan dalil itu sendiri.

Cukuplah istilah lebai yang asalnya mulia (lelaki + baik) telah dicemari dengan maksud negatif.

Sikap wala’ dan hidup berpandukan dalil adalah ‘lifestyle’ golongan ‘lebai’ iaitu orang-orang baik dan beriman yang rindukan syurga serta berharap diampunkan dosa.

Anda hendak mempersenda PAS, dipersilakan.

Tapi janganlah sampai begitu selamba dan bersahaja mempersenda agama Islam tanpa anda sedari kerana jahil.

Semoga Allah selamatkan kita dari bermain-main di tepian neraka terutama buat diri saya yang menulis.

Na’udzubillahi min zalik!

Penulis merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Labis