KUALA TERENGGANU – Permainan Gasing Tradisional akan turut dipersembahkan dan akan menjadi penyeri pada acara ‘City Night Games’ siri dua yang bakal diadakan nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul karim berkata, pihaknya telah dikunjungi oleh jurulatih dan juga pembuat gasing, Omar Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pok Din Bagi membincangkan penganjuran pertandingan gasing yang akan menjadi salah satu acara dalam acara berprestij itu nanti.
“Pertandingan gasing ini akan dijalankan pada 19 April 2025 bermula pada 8.30 pagi di Kompleks Sukan negeri Terengganu, Gong Badak,”ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya di sini, kelmarin.
Jelasnya, melalui acara itu nanti pengunjung akan dapat melihat dengan lebih dekat dan mengetahui lebih mendalam tentang permainan gasing.
“Menerusi program ini, pengunjung terutama generasi muda dapat menyaksikan keunikan sukan gasing yang merupakan sukan tradisi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.
“Terima kasih diucapkan buat Pok Din atas kunjungan pada kali ini. Semoga dipermudahkan penganjuran pertunjukan gasing nanti,” katanya.