Home Berita PAS Terengganu

Ciri-ciri Parti Islam

11
SHARE

Kini, berlaku kemunculan parti-parti berjenama Islam atau perkataan yang tersohor dalam Islam seperti keadilan, amanah, dan sebagainya. Keadaan ini berlaku kerana kekhilafan pemikiran dalam kalangan penganut Islam yang berpunca daripada salah faham dan tidak bertafaqquh dalam urusan agama, seterusnya menyebabkan perpecahan yang merosakkan.

Al-Quran dan Sunnah merupakan penyelesaian segala masalah, sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah SWT:

… فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“…Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]

Memahami Islam hendaklah bersama semua ulum (ilmu yang berkaitan dengannya).

Sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌أَحْدَثَ ‌فِي ‌أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

“Sesiapa yang mengadakan sesuatu dalam urusan kami (agama) yang bukan daripadanya, maka perkara itu ditolak.” [Muttafaqun ‘Alayh: Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sulh, No. 2697, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aqdiyah, No. 1718, daripada ‘Aishah]

Mendalami ilmu yang berkaitan dengan sunnah dan pelaksanaan hukum syariat hendaklah mengikuti kerangka maqasid al-syariah (tujuan dan hikmah pelaksanaan syariat) dan siasah syar‘iyyah (pengurusan pelaksanaan syariat).

Allah SWT mewajibkan adanya kumpulan Islam yang dijanjikan kemenangan untuk memerintah negara bersama kepimpinan ulama’ dan umara’.

Firman Allah SWT:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]

Al-Quran telah menetapkan ciri-ciri yang menjadi sifat dan rukun kepada kumpulan Islam yang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan para anbiya’ pada akhir zaman, diikuti oleh hikmah nabawiyyah (sunnah) dan segala ilmu yang berkaitan dengannya yang diwarisi oleh para ulama’.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, bersikap keras terhadap orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah, dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurniaan Allah, Dia memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, kumpulan pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54–56]

Definisi perkataan “ciri” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sifat (unsur, tanda) yang khusus pada sesuatu (yang membezakannya daripada yang lain).

Jadi, ciri kumpulan Islam itu mestilah terdiri daripada pengikut yang setia kepada Allah SWT dan Rasul SAW (mengasihi Allah dan Rasul) dengan mengikuti al-Quran dan al-Sunnah berserta para ulama’ yang menerima dan mewarisi pusakanya, iaitu Islam yang sempurna (al-din).

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ ‌الْعُلَمَاءَ ‌وَرَثَةُ ‌الْأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesungguhnya, para ulama’ ialah kumpulan mereka yang menerima pusaka para anbiya’. Sesungguhnya, para anbiya’ tidak meninggalkan pusaka harta wang emas dan perak, tetapi mereka meninggalkan pusaka ilmu. Maka, sesiapa yang mengambilnya, nescaya mendapat kelebihan yang besar.” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, No. 3641, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2682, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Iftitah al-Kitab fi al-Iman wa Fada’il al-Sahabah wa al-‘Ilm, No. 223, daripada Abu al-Darda’. Lafaz bagi Ibn Majah]

Para ulama’ ialah mereka yang mendalami dan bertafaqquh dalam ilmu Islam yang sempurna. Firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Tidak sepatutnya bagi orang Mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]

Maka, hendaklah berdakwah dan berjihad dengan gagah perkasa serta tidak menyerah kalah, sama ada menang ataupun mati dalam perjuangan. Di samping itu, hendaklah terus berwala’ (memberikan kesetiaan) kepada Allah dan Rasul secara mutlak serta kepada kepimpinan Islam yang istiqamah.

Sejarah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan oleh para ulama’ dan tokoh masyarakat yang memperjuangkan Islam, bukan sekadar berilmu dan berdakwah, sejak kedatangan Islam sehinggalah menentang penjajahan dan seterusnya.

PAS mengadakan Majlis Syura Ulamak (MSU) yang menentukan parti supaya beristiqamah kepada perjuangan Islam serta melaksanakan perjalanannya berpandukan hukum Islam yang tertinggi daripada Kitab Allah, Sunnah, ijmak, qias, dan kaedah syar‘iyyah.

PAS turut mengadakan hubungan dengan semua pihak, termasuk pihak bukan Islam berpandukan hukum Islam yang tertinggi bagi menghadapi perubahan berkonsepkan siasah syar‘iyyah dan rukun-rukun maqasid al-syariah. Semuanya berpandukan firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]

Rasulullah SAW mengadakan hubungan dengan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem melalui pendekatan tahaluf, ta‘awun, dan lain-lain serta membatalkannya apabila Ahli Kitab dan Musyrikin mengkhianati syarat yang ditetapkan.

Langkah PAS bekerjasama dengan pihak lain, termasuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) dahulu yang diubah kepada Pakatan Harapan (PH) kini, ialah langkah dalam aspek tertentu bagi menentang kezaliman sahaja.

Apabila ada pihak tertentu mendesak kepada istilah progresif (istilah sekularisme) bagi meminggirkan dasar dan ciri penting dalam Islam — seperti menegakkan negara Islam dan pelaksanaan syariat yang sempurna dengan mentafsirkan Islam yang sebenar kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah kuasa Melayu Islam —, maka pendekatan ini adalah lebih melampau daripada kezaliman.

Oleh sebab itu, Majlis Syura Ulamak PAS mengambil keputusan dasar memutuskan hubungan dengan PR. Keputusan awal ini ditentukan sejak dua orang Mursyidul Am PAS yang lalu masih lagi ada yang difitnahkan nama mereka, iaitu Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Almarhum Dato’ Dr. Haron Din yang meneruskan perjuangan sehingga akhir hayat mereka.

Kini, PAS menukar kepada konsep ta‘awun siyasi sebagai langkah islah dan tajdid yang berpandukan Islam, bukan mengikuti liberalisme dan progresif sekularisme yang dapat dilihat akibatnya daripada Kerajaan PH pada hari ini.

PAS terus mengambil pendekatan berpandukan Allah SWT melalui firman-Nya:

… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Islam menetapkan kaedah agar bersabar dalam menghadapi kezaliman serta menolak mereka yang sesat daripada dasar dan perjuangan Islam.

Apabila kalangan komponen PH menolak konsep negara Islam, menentang pelaksanaan hukum syariat, dan ingin mengadakan pilihan raya majlis perbandaran bagi merampas kuasa politik Melayu Islam, maka PAS mengadakan kerjasama dengan parti Melayu Islam seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan kumpulan bukan Islam yang tidak ekstrem.

PAS mencapai kejayaan menjadi parti terkuat dalam politik negara, sehingga menjadi parti yang paling banyak memerintah negeri dan menduduki paling banyak kerusi Parlimen. Bukan sebagaimana parti berjenama Islam yang menumpang dalam keadaan Islam dipinggirkan sedikit demi sedikit dan tidak berkuasa, malah dikawal untuk meneruskan pergerakannya dan menjadi agenda penjajah untuk Islam dihapuskan oleh musuhnya.

Kini, kita sedang menyaksikan di bawah Kerajaan PH, bebasnya kumpulan liberal dan anti-Islam menggunakan media, khususnya media baharu (seperti Malaysiakini dan lain-lain) bagi menimbulkan kefahaman yang salah terhadap Islam. Di samping itu, mereka juga mengambil langkah-langkah mengawal pengajian agama, dakwah, dan khutbah Jumaat di bawah perlindungan konsep demokrasi Barat.

Sebaliknya, kebebasan mengikut acuan liberalisme mendapat perlindungan kuasa politik yang didominasi oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang terbesar dalam kerajaan dan kalangan oportunis yang gila menjadi pemimpin tanpa istiqamah. Mereka terus melaksanakan Islam sekular dan Islam liberal ciptaan penjajah dengan jenama Islamnya.

Firman Allah SWT:

فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩

“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, ‘Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan!” [Surah al-Baqarah: 79]

Mereka juga mengikuti langkah syaitan yang beramal dengan Islam yang tidak sempurna. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Syawwal 1446 / 13 April 2025

[Bil: 26 / 2025]