Home Surat Pembaca

‘Cikgu, kalau kapal terbang nak jatuh, nak minta tolong siapa?’

616
SHARE

‘Cikgu, kalau kapal terbang nak jatuh, nak minta tolong siapa?’

Nik Muhammad Nasri Nik Malek

Apabila kapten kapalterbang sebuah syarikat penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur meminta penumpang membaca doa agar kapalterbang yang mengalami masalah teknikal baru-baru ini selamat, saya teringat satu peristiwa 34 tahun yang lampau.

Ketika itu saya di Tingkatan 4, Sekolah Alam Shah, Ceras, Kuala Lumpur. Guru Matematik Moden seorang Tionghua tanpa agama. Ketika hampir selesai pengajaran Matematik Moden itu, dia menyebut kepada kelas yang kesemua pelajarnya ialah pelajar lelaki: ‘I’m free. I’ve no rules to follow.’

Seorang kawan bernama Zainal Arifin (almarhum) menyampuk: ‘Kalau cikgu naik kapalterbang, tiba-tiba kapalterbang nak jatuh, cikgu nak minta tolong siapa?’

Loceng berbunyi menandakan pertukaran subjek lain pula. Cikgu kecil molek yang tidak berkahwin itu diam, tidak respon apa-apa dan terus keluar.

Kenyataan seorang guru aties yang secara halusnya mengajak manusia engkar kepada Allah dan peraturanNya disanggah dengan soalan spontan dari mulut pelajar yang menggunakan logik akal mudah.

Manusia secara fitrah dan semulajadi percaya kepada satu superpower yang berbeza dengan dirinya dan makhluk lain. Ketika senang, ia mungkin tidak ketara. Tetapi ketika susah, ia akan berdoa kepadaNya memohon pertolongan membebaskannya dari dukalara.

Perkara ini dikuatkan oleh ayat Al-Quran yang menyebut tentang manusia yang berada di laut di saat gelombang kuat, dia akan berdoa kepada Allah agar diselamatkan, tetapi bila tenang berada di darat, dia mula lupa.

Si fulan komen isu di atas dengan berkata: Ia masalah teknikal sahaja, tiada kaitan dengan tuhan.

Nama si fulan sangat baik dari segi maknanya. Zaid nama popular dalam buku tatabahasa Arab. Ia digunakan untuk menunjukkan katanama Zaid itu sebagai isim marfu’, mansub atau majrur. Ops, maaf, ramai yang tak faham. Nama Ibrahim pula sempena nama nabi yang membanteras syirik dan bentuk kepercayaan yang salah di zamannya. Sepatutnya orang bernama seperti ini mempunyai sifat macam Nabi Ibrahim yang membanteras kesesatan, tidak sebaliknya.

Kerosakan teknikal kapalterbang boleh berlaku kepada semua jenis kapalterbang, tambang murah atau tambang mahal. Langkah keselamatan tentu telah diambil. Namun bila berlaku perkara yang penuh risiko, adakah salah kapten kapal yang punya pengalaman dan prinsip meminta penumpang berdoa agar semua selamat?

Kalau yang komen itu seorang aties, ia memang tidak percaya kepada tuhan dan mungkin tidak berdoa. Namun, dia tidak dapat melawan fitrah semulajadi dirinya sendiri bahawa di sana ada kuasa yang mengatasi segalanya.

Kalau yang bernama Zaid itu muslim, dia tentu percaya kepada agamanya termasuk ayat Al-Quran dan isinya.

Lama dulu, dialah yang memfailkan kes di mahkamah menentang hudud di negerinya sendiri.

Kini, dalam kes kapalterbang pun, dia menunjukkan seolah-olah kuasa tuhan tidak tertakluk kepada perkara itu.

Takdirnya nanti (moga dijauhkan Allah), partinya mendapat kuasa, tentu syariat dan hukum agama terpinggir kerana tuhan tiada peranan di situ.

Kembalilah kepada fitrah. Kembali lah kepada agama Allah.

(Penulis adalah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu)

{jathumbnail off}