KUALA TERENGGANU – Nazrul Hazel Mohd Nor berjaya mengharumkan nama Terengganu apabila merangkul gelaran Chef Of The Year 2025 (Masakan Warisan) bagi Festival Anugerah Asean Food & Travel (AFT) 2025 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Anugerah AFT dianjurkan bertujuan mempamer dan mempromosikan ASEAN dalam arena makanan dan pelancongan serta memberi pengiktirafan kepada personaliti atau organisasi yang cemerlang dalam industri makanan, pelancongan dan hospitaliti di rantau ini.
Menurut kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu, beliau amat bersyukur dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij tersebut yang merupakan pencapaian tertingginya selepas 24 tahun berkecimpung dalam dunia masakan.
“Gelaran Chef Of The Year 2025 dinilai berdasarkan pencapaian-pencapaian kita sebelum ini, memang saya selalui sertai pertandingan masakan tetapi tak sangka terpilih sebagai penerima anugerah ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Ditanya mengenai rahsia kejayaannya itu, Nazrul Hazel berkata, selain minat, keikhlasan adalah sesuatu yang penting dalam bidang masakan.
“Dalam menyediakan hidangan, kita perlu tenang dan ikhlas seperti memasak untuk diri sendiri agar orang yang rasa masakan kita berpuas hati,” katanya.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan tidak berbelah bahagi.
“Terima kasih juga kepada keluarga tersayang yang sentiasa mendoakan dan menyokong,” ujar beliau.
Sebelum ini, Nazrul Hazel pernah memenangi pingat gangsa dalam Kategori Masakan Warisan Malaysia di Festival Culinare Malaysia 2023 dan pingat emas dalam Pertandingan Pasta di World Chefs Championship 2023.
Beliau yang bertugas di Unit Korporat dan Promosi JPNT, pernah menimba ilmu di ‘Institute International Flamingo Malaysia’ dan turut memiliki pengalaman luas dalam bidang masakan seperti Ketua Juri Karnival Makanan Rentas Negeri Terengganu 2024 dan Juri Masakan Program Pemuliharaan Makanan Terengganu 2024.