Oleh: Nusaibah Ibrahim
TITIWANGSA, 8 April – PAS Zon Kg. Baru memulakan pecutan pertama sejurus pembubaran parlimen dengan penganjuran Ceramah Kelompok malam tadi.
Ceramah yang diadakan di PASTI Al Fatih, Kg. Baru semalam telah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat.
Antara pimpinan yang hadir memeriahkan ceramah tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Tn. Hj Mohammad Noor Muhammad, Ketua Dewan Ulama’ Wilayah Persekutuan, Ustaz Md. Ali Jamil dan Naib Ketua DUPWP Ustaz Abdul Hadi Abdul Halim.
Dalam ceramah tersebut, Tn. Hj Mohammad Noor telah menyentuh berkenaan hasrat pembangunan di Kg. Baru oleh pihak kerajaan.
Kata beliau,”Kg. Baru adalah sebuah penempatan tradisi di tengah-tengah ibu kota, tetapi suatu hari nanti, kampung ini akan dimajukan dengan pembangunan bangunan-bangunan pencakar langit”.
“Seharusnya, penduduk menjadi salah satu elemen kepada pembangunan tersebut, bukannya menjadi mangsa pembangunan”.
“Penduduk wajar menikmati pembangunan yang dihasilkan, bukan hanya memandang dari jauh pembangunan tersebut lantaran dikerah pindah dari penempatan ini”, ujar beliau yang juga merupakan seorang tokoh masyarakat di situ.
Dalam program ceramah malam tadi, Ustaz Md. Ali dan Ustaz Abdul Hadi turut membangkitkan semangat para hadirin dengan taujihat perjuangan dan tawaran-tawaran PAS kepada rakyat.
Hadirin yang hadir kelihatan berpuas hati dengan pendekatan PAS kepada rakyat melalui manifesto yang diperjuangkan oleh parti berkenaan.