Home Berita PAS Terengganu

CEO : Penyokong Terengganu perlu ‘Trust The Process’

21
SHARE

KUALA NERUS – Hasrat penyokong untuk melihat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC masih tidak kesampaian apabila kelibatnya masih tidak kelihatan dalam sesi Dialog dan Soal Jawab Terengganu FC, semalam.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB), Hishamuddin Abdul Karim bagaimanapun meminta peminat pasukan pantai timur itu bersabar dan percaya kepada proses yang sedang berlangsung.

“Kita telah lakukan temuduga tertutup. Ada dua calon yang merupakan ahli korporat. Insya-Allah, seorang akan jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan salah seorang lagi kita akan serap menjadi pengarah dalam ahli lembaga TFCSB.

“Kedua-duanya hebat belaka, kami akan maklumkan selepas rundingan antara pihak pentadbiran dengan kedua-dua mereka. Jangan gopoh,” pesannya kepada sebahagian penyokong yang hadir dalam sesi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu.

Menurut Hishamuddin, CEO yang dilantik akan kepada pembangunan syarikat dan membentuk budaya korporat dalam kelab Terengganu FC.

“Apa  Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka? Pertama, kita mahu dia memulihkan struktur kelab. Kita kena urus sebagai syarikat korporat yang menjadi kelab bola sepak yang ada nama. Tanggungjawabnya buat ‘networking’ dengan kelab luar, dalam masa sama ada jiwa bola sepak yang sebati untuk faham perjalanan pengurusan kelab ini.

“Kedua, hendak semak hutang-hutang dan menyusun semula tanpa bebankan kerajaan negeri dan kita boleh pulihkan syarikat dengan berwibawa. Ini KPI yang kita akan tetapkan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu turut memaklumkan kepada pemberita yang hadir, dijangkakan individu terbabit akan diumumkan menjelang akhir Julai ini dan mungkin akan memulakan tugas pada Ogos.

Pada sesi yang dihadiri sebahagian penyokong tegar gergasi pantai timur itu, turut diadakan pertandingan sepakan penjuru dan sepakan percuma sebagai aktiviti mengukuhkan hubungan antara pentadbiran TFCSB dan penyokong.