Home Berita PAS Terengganu

CelcomDigi tanggung kos pembinaan baharu mercu tanda ‘Allah Peliharakanlah Terengganu’

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri mengesahkan bahawa syarikat telekomunikasi CelcomDigi akan membiayai sepenuhnya pembinaan baharu mercu tanda ‘Allah Peliharakanlah Terengganu’ di Bukit Besar melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka tanpa melibatkan sebarang dana negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pihak CelcomDigi kini dalam peringkat akhir mereka bentuk semula struktur mercu tanda tersebut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kelulusan.

“CelcomDigi sedang dalam proses mereka bentuk struktur baharu dan akan dihantar ke JKR. Setelah diluluskan, mereka akan memulakan pembinaan. Kos sebenar kita belum tahu sebab ia bergantung kepada reka bentuk akhir oleh mereka.

“Sebelum ini, JKR pernah membuat satu lakaran dengan anggaran kos RM4.75 juta, tetapi Pengarah JKR sendiri menyatakan ingin menghasilkan rekaan baharu yang lebih sesuai,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Menurut beliau, CelcomDigi telah menyatakan hasrat untuk meletakkan logo mereka pada struktur mercu tanda tersebut sebagai tanda penajaan sepenuhnya.

“Duit itu bukan daripada kerajaan negeri. Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini pun telah bersetuju untuk memberi kelulusan kepada CelcomDigi,” jelasnya.

Mercu tanda ‘Allah Peliharakanlah Terengganu’ yang menjadi simbol ikonik bandar Kuala Terengganu sebelum ini mengalami kerosakan akibat faktor usia dan pengaratan yang kritkal.