Home Minda Presiden

Celaka Selamatkan Israel

605
SHARE

Minda Presiden PAS

CELAKA SELAMATKAN ISRAEL


Seluruh dunia menyaksikan drama dan lakonan mereka yang kononnya berjuang demi perdamaian, khususnya di Asia Barat atau Timur Tengah, kawasan yang paling bergolak. Pelakon paling utama ialah negara Barat dan sekutunya. Manakala negara Timur Tengah khususnya negara Arab hanya diperalatkan dan sangat bergantung dengan Barat walaupun sekadar menjadi pelakon tambahan sahaja. Hakikatnya mereka yang paling menjadi mangsa.

Jika dibaca lakonan awal, kita tidak lupa sejarah penubuhan negara haram Israel selepas Perjanjian Balfour yang menjanjikan diberi negara kepada kumpulan Zionis. Berkembar pula dengan Perjanjian Sykes-Picot yang menanti kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada abad yang lalu untuk dibahagikan wilayahnya laksana menjadi harta pusaka.

Kini sudah genap 100 tahun berlakunya peristiwa tersebut, walaupun ia sengaja ditutup kejahatannya.

Negara yang dilantik menjadi hero utama dalam lakonan perdamaian itu ialah mereka yang paling terlibat dalam menubuhkan negara haram Israel. Adapun mereka yang mendapat habuan daripada Perjanjian Sykes-Picot sekadar pelakon tambahan sahaja, walaupun berjawatan paling tinggi dan berkuasa di negara masing-masing.

Negara haram Israel yang ditubuhkan dijaga habis-habisan sejak awal lagi, sehingga terpelihara daripada sebarang hukuman undang-undang antarabangsa yang sangat lemah, laksana sarang labah-labah hanya menangkap serangga kecil dan lemah. Adapun helang yang besar berlalu bebas.

Setiap keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi ancaman kepada Israel akan divetokan oleh heronya, maka Israel tetap diselamatkan.

Walaupun peta negara haram itu sangat kecil sekangkang kera dan penduduknya tidak ramai. Namun, slogannya sangat besar untuk membina ke arah Negara Agung Israel daripada Lembah Nil sehingga Sungai Euphrates dan dari lautan ke lautan.

Di sebalik itu sebenarnya adalah gerakan Zionis yang menguasai Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan media yang paling berpengaruh dan meluas. Mereka itu jugalah yang menjadi pendukung kepada parti dan calon ketua kerajaan tersebut dalam setiap pilihan raya umum.

Negara haram Israel dibekalkan dengan segala persenjataan yang paling canggih, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa dan Israel tidak terikat dengan sebarang perjanijan. Adapun senjata yang dibekalkan kepada negara-negara Arab, sekadar untuk mempertahankan diri di tempat masing-masing sahaja.

Mereka tidak boleh keluar daripada sempadan yang ditetapkan kerana boleh menjadi ancaman kepada Israel, dan digunakan untuk melakukan perang saudara serta menjaga telaga minyak dan laluannya sahaja. Syarat wajib yang dikenakan adalah mereka tidak boleh mengatasi kekuatan Israel yang wajib dijaga keamanannya, di samping adanya pengkalan-pengkalan tentera negara yang menjadi hero lakonannya.

Negara haram Israel yang ditubuhkan itu diiktiraf sebagai sah kewujudannya, walaupun bumi itu dirampas daripada penduduk asal yang dihalau keluar secara paksaan yang paling zalim sejak bermulanya sehingga kini.

Sebaliknya penduduk asal Palestin pula dipaksa dengan pelbagai tawaran yang mewah dan dipujuk oleh jiran-jiran mereka yang tidak berperikemanusiaan supaya menyelamatkan Israel.

Penduduk Palestin tidak menyerah kalah, bahkan kebangkitan mereka menjadi semakin kuat, membuktikan sabda Rasulullah SAW:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ، قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.” قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

“Akan ada sebahagian daripada umatku (pada akhir zaman) yang sentiasa berterusan menegakkan kebenaran. Musuh-musuh mereka tidak akan dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan mereka tidak boleh dikalahkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga mereka mencapai kemenangan dan tetap dalam keadaan yang demikian.” Maka para sahabat bertanya: Di manakah mereka? Jawab Rasulullah: “Mereka itulah penduduk Baitul Maqdis dan sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320)

Kini kita menyaksikan lakonan perdamaian bagi menyelamatkan negeri haram Israel terus berlangsung dengan sedemikian rupa. Antaranya ialah langkah menyekat setiap laluan yang membantu perjuangan Palestin.

Semua negara yang terlibat menjadi saluran bantuan kepada Palestin akan diganggu dengan pelbagai cara. Bagi Israel, bukan lagi soal ideologi atau mazhab atau kaum. Semua yang menjadi ancaman kepada Israel mesti dihapuskan.

Peristiwa pembunuhan Raja Faisal, pemerintah Arab Saudi dan Ziya’ul Haq, Presiden Pakistan, serta usaha pembatalan pilihan raya Algeria yang menunjukkan kemenangan kepada pihak Islam adalah dihapuskan bukan kerana kezalimannya, tetapi sudah tidak berguna lagi untuk negara haram Israel, sekadar membuang buah catur yang tidak perlu digunakan lagi.

Kita baru sahaja menyaksikan Arab Spring iaitu musim bunga Arab yang tidak sempat berbuah. Kemudian ditukar kepada perang proksi di Syria, Libya, Yaman dan negara yang lain. Perang yang berjaya dicetuskan di setiap negara yang terlibat menjadi laluan membantu Palestin. Maka dicetuskan atas nama semangat mazhab, fanatik kaum, krisis sempadan atau demokrasi. Semuanya adalah peta lakonan bagi menyelamatkan Israel bukan kerana membela umat Islam dan Arab.

Terkini pula, mereka gelabah dengan pencapaian kemajuan teknologi tinggi di Iran dan Turki. Kedua-dua negara itu bakal bangkit menjadi kuasa besar dunia yang berpihak kepada Palestin. Kempen hangat sedang berlangsung bagi menggagalkan kebangkitan dua negara Islam ini. Sasaran kempennya ialah umat Islam, khususnya dalam kalangan agamawan dan ahli politik yang berpengaruh dan boleh dipergunakan dengan berbagai-bagai cara dan pendekatan. Tanpa disedari akan dirinya yang jahil murakkab diberikan umpan yang lumayan.

Iran dikatakan mazhab Syiah yang dianutinya tidak layak disokong oleh Sunni, manakala Turki pula ditohmah akan kembali menjadi penjajah ‘Uthmaniyah yang mengancam keamanan dunia dan tidak layak mendapat sokongan negara Islam. Khususnya sokongan negara Arab yang menjadi Imam Sunni dan bangsa Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya semua itu adalah lakonan filem lama hitam putih yang dibaharukan menjadi filem warna-warni dan perancangan lakaran peta baharu yang perlu diubah. Sesetengahnya gagal menyekat kebangkitan semula untuk kembali kepada Islam. Maka dirancang strategi secara berhadapan atau secara halus.

Perang Afghanistan dan Perang Teluk adalah bertujuan untuk menentang secara berhadapan. Sehingga kini dua perang tersebut belum selesai. Walaupun ramai bala tentera yang dikerahkan dan berjaya menyelinap masuk ke dalam dengan kerahan tentera melalui penubuhan pengkalan, perisikan dan perang propaganda yang menyusup ke dalam rakyat dengan mencetuskan masalah dalaman umat Islam sendiri.

Maka dibangkitkan isu perbalahan etnik dan mazhab, serta berjaya diwujudkan puak pelampau yang dipersenjatakan atas nama jihad tanpa tafaqquh dalam ajaran agama dan memahami adabnya. Mereka tidak peduli ribuan mahupun jutaan rakyat yang mati atau menderita akibat peperangan, kerana perkara yang penting bagi mereka ialah menyelamatkan negara haram Israel.

Adapun secara halus ialah usaha perdamaian yang dirancang, dan mewujudkan kelompok  yang boleh dihubungi dan dipujuk,  kerana bersikap sederhana, liberal, Islam sekular yang tidak jumud atau tidak fanatik agamanya. Semuanya laksana ubat penahan sakit sementara waktu, bagi memberi peluang kepada Israel bernafas untuk membina kekuatan yang sentiasa dibekalkan pernafasannya.

Buat umat Islam, adanya janji Allah SWT yang meneruskan cahaya kemenangan Islam. Firman-Nya:

﴿…وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾

“…Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia (Allah) akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

Selepas kejatuhan Kota Baghdad dan kemusnahannya oleh kaum Tatar yang paling ganas, Allah SWT menyelamatkan Islam dengan melahirkan Sultan Zahir daripada kalangan bangsa Turki yang memerintah Mesir. Kemudian dibangkitkan rakyat dengan slogan ‘Wa Islamah’ (selamatkan Islam yang tersayang) setelah berjaya menyatukan umat Islam daripada pelbagai bangsa dan mazhab.

Selepas kejatuhan Baitul Maqdis selama hampir satu abad, Allah SWT menciptakan kebangkitan Islam bersama Sultan Salahuddin al-Ayyubi daripada kalangan  bangsa Kurdi. Baginda juga telah berjaya menyatukan umat Islam daripada pelbagai bangsa dan mazhab, termasuk mazhab yang sesat yang diselesaikan secara penyelesaian dalaman.

Benarlah kata Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله.

“Kita adalah kaum yang diperkasakan bersama Islam. Maka apa-apa yang lain daripada Islam yang menjadi kurniaan Allah kerana mahukan kemuliaan dengan sebabnya, nescaya mendapat hukuman penghinaan daripada Allah.”

Percayalah bahawa filem yang ditayangkan pasti akan tamat, apabila heronya mati. Akan tetapi Islam tidak akan sekali-kali mati dengan kematian pendukungnya, kerana firman Allah SWT:

﴿مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ  فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ  وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا٢٣﴾ 

“Antara orang-orang yang beriman itu, ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Surah al-Ahzab: 23)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Institut Jantung Negara, 17 Februari 2021