Home Minda Presiden

Cara golongan munafiq menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan

567
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 101 / 2023]
CARA GOLONGAN MUNAFIQ MENENTANG ISLAM DIIKUTI ISRAEL DAN PAKATAN HARAPAN


Firman Allah SWT:

﴿هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُواْ عَلَىٰ مَنۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّواْۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَفۡقَهُونَ ٧﴾

“Mereka orang-orang (kalangan munafiq) yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allah jua perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami.” [Surah al-Munafiqun: 7]

Al-Quran ialah petunjuk sepanjang zaman walaupun diwahyukan sejak lima abad yang lalu (lebih 1,400 tahun yang lalu).

Para ulama’ tafsir menegaskan:

الْعِبْرَةُ ‌بِعُمُومِ ‌اللَّفْظِ، لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.

“Pengajaran diambil dengan lafaz yang umum, bukan dengan sebab yang khusus (pada masa ayat diwahyukan).”

Ayat tadi menceritakan ucapan golongan munafiq pada zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka berkempen agar sekatan ekonomi dilakukan supaya golongan Ansar (orang-orang Madinah yang beriman) tidak memberikan sumbangan kewangan kepada orang-orang yang beriman kepada Rasulullah SAW. Hal ini demikian supaya mereka yang beriman berada dalam kesusahan kerana tiada perbelanjaan, lalu mereka tidak lagi bersama Rasulullah SAW.

Begitulah hujah dalam menyekat peruntukan kewangan, royalti petroleum, dan sebagainya kepada negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis. Demikian juga kepada wakil-wakil rakyat PAS dan rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) yang bersama dengan PAS yang dikuasai oleh Melayu Islam, supaya apabila mereka tidak mempunyai duit nanti, maka rakyat tidak akan menyokong mereka lagi.

Ini tidak dilakukan kepada parti selain daripada PAS. Apakah kerana wajah Islam pada PAS menyebabkan mereka lakukan sedemikian?

Mengikut amalan demokrasi dan adat serta adabnya, selepas pilihan raya, parti yang menubuhkan kerajaan wajib memberikan peruntukan kepada semua rakyat, sama ada yang menyokong kerajaan ataupun tidak. Hal ini demikian kerana, cukai dipungut daripada semua rakyat, hasil dipungut daripada semua negeri, wilayah, dan daerah, yang dikumpulkan oleh sesiapa sahaja yang diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Persekutuan mengikut konsep federalisme.

Inilah petunjuk Allah kepada makhluk-Nya yang bernama manusia yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi dan mentadbirnya. Allah yang Maha Berkuasa menunjukkan wajib bagi Diri-Nya berlaku adil kepada makhluk-Nya. Maka, Allah memberikan rezeki kepada semua hamba-Nya sama ada yang taat mahupun derhaka.

Adapun hukuman derhaka bagi seseorang hamba itu dimasukkan dalam hisab yang berasingan, namun keperluan hidupnya tetap dijamin oleh Allah dengan adil. Inilah petunjuk Allah kepada hamba-Nya.

Kesalahannya akan dibicarakan dengan adil pada Hari Kiamat nanti dengan bukti dan saksi. Adapun hak kehidupan di alam dunia tidak dibatalkan oleh Allah. Allah SWT berfirman:

﴿وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ٥٨﴾

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (56) Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. (57) Sesungguhnya, Allah, Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh. (58)” [Surah al-Zariyat: 56–58]

Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi:

“يَا عِبَادِي، ‌إِنِّي ‌حَرَّمْتُ ‌الظُّلْمَ ‌عَلَى ‌نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا…”

“Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya, Aku mengharamkan sifat zalim terhadap Diri-Ku dan Aku turut mengharamkan sifat zalim dalam kalangan kamu! Maka, janganlah kamu saling berlaku zalim…” [Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, No. 2577, daripada Abu Zar]

Demokrasi Barat dunia moden banyak terpengaruh dengan Tamadun Islam yang bersifat madani, bermoral, dan bersikap terbuka terhadap rakyat, sehingga rakyat diberikan kebebasan untuk mengkritik kerajaan. Perkara ini mengambil contoh daripada ucapan Khalifah Abu Bakar RA:

أَمَّا بَعْدُ أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي، ‌الصَّدْقُ ‌أَمَانَةٌ، وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ، وَالضَّعِيفُ فِيكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرِيحَ عَلَيْهِ حَقَّهُ إنْ شَاءَ اللَّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيكُمْ ضَعِيفٌ عِنْدِي حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ إنْ شَاءَ اللَّهُ، لَا يَدَعُ قَوْمٌ الْجِهَادَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إلَّا ضَرَبَهُمْ اللَّهُ بِالذُّلِّ، وَلَا تَشِيعُ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ إلَّا عَمَّهُمْ اللَّهُ بِالْبَلَاءِ، أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَلَا طَاعَةَ لِي عَلَيْكُمْ.

“Wahai sekalian manusia (yang hadir)! Sesungguhnya, aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal aku bukannya yang terbaik dalam kalangan kamu. Sekiranya aku berlaku baik, maka tolonglah aku. Sekiranya aku berlaku tidak baik, maka perbetulkanlah aku. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya (yang dirampas secara zalim), insya-Allah. Manakala orang yang kuat dalam kalangan kamu adalah lemah di sisiku, sehingga aku mengambil hak (yang dirampas secara zalim) daripadanya, insya-Allah. Tiadalah suatu kaum itu meninggalkan jihad (meninggikan Islam) melainkan Allah menimpakan kehinaan ke atas mereka, dan tiadalah tersebarnya kejahatan dalam suatu kaum melainkan bala bencana turut menimpa mereka. Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Sekiranya aku tidak mentaati Allah dan Rasul, maka jangan lagi kamu mentaatiku.” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 2, Hlm. 661]

Inilah konsep yang diamalkan oleh demokrasi moden. Adapun sikap memaksa rakyat untuk menyokong dan mendukung apa-apa sahaja ialah amalan purba zaman jahiliah yang turut diamalkan oleh Yahudi Zionis Israel di Palestin. Mereka menolak Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) yang menang secara majoriti dalam Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006 dahulu dengan membenarkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang menang secara minoriti menubuhkan kerajaan.

Maka, konsep yang diguna pakai oleh Pakatan Harapan (PH) menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi. Namun, PLO sebagai kumpulan minoriti yang tunduk menjadi boneka Zionis Israel dan Amerika Syarikat pula yang menubuhkan kerajaan dengan mengikuti telunjuk mereka.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti minoriti kini memimpin kerajaan boneka pragmatik liberal. Situasi ini sama seperti PLO yang mencapai keputusan minoriti diberikan hak bagi menubuhkan kerajaan dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat.

Pendekatan pemerintahan mereka sama seperti pendekatan golongan munafiq pada zaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang beriman supaya menyekat peruntukan kepada pihak lawan.

Allah SWT mendedahkan hujah golongan munafiq yang zalim itu dengan firman-Nya:

﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ ١١ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ ١٢﴾

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi.’ Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya, kami orang-orang yang mengadakan pembaikan.’ (11) Ingatlah, sesungguhnya, mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar. (12)” [Surah al-Baqarah: 11–12]

Mereka sanggup berwalikan orang-orang bukan Islam yang bermusuh terhadap Islam demi mendapat kuasa. Firman Allah SWT:

﴿بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩﴾

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya, semua kekuatan ialah kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138–139]

Mereka bersekongkol dengan berwala’ kepada orang bukan Islam yang berusaha mengambil alih kuasa politik. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ يَتَوَلَّهُمْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩﴾

“Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama, mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [Surah al-Mumtahanah: 9]

Mereka menjalinkan kerjasama bagi mendapat kuasa walaupun dengan menjadi alat sementara kepada musuh Islam dan tidak peduli akan hilangnya kuasa Islam.

Adapun kumpulan Islam yang istiqamah menjadikan ayat al-Quran tersebut sebagai sempadan atau garisan merah yang tidak boleh diteruskan perjalanannya, kerana larangan Allah dan akibatnya yang buruk kepada agama dan umat.

Mereka yang melakukan tindakan yang salah dan sesat itu sanggup sedia bersumpah serta melanggar baiah dan syahadah. Firman Allah SWT:

﴿ٱتَّخَذُوٓاْ أَيۡمَٰنَهُمۡ جُنَّةٗ فَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِنَّهُمۡ سَآءَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ٢﴾

“Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya, amat buruklah apa-apa yang telah mereka kerjakan.” [Surah al-Munafiqun: 2]

Sikap mereka berpura-pura sehingga bersumpah dengan nama Allah secara mudah bagi menunjukkan keislaman mereka dengan cara menipu. Firman Allah SWT:

﴿يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ ٩﴾

“Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri mereka sendiri, sedang mereka tidak sedar.” [Surah al-Baqarah: 9]

Kenyataan Lim Kit Siang yang memberikan isyarat bahawa orang bukan Islam boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia ialah berdasarkan tafsiran sekularisme yang menjadi dasar DAP terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Untuk itu, wajib bagi umat Islam menjadikan agama Islam mengikuti bahasa al-Quran, bukan bahasa Bible yang terpesong daripada kitab suci Allah kepada semua rasul AS.

Firman Allah SWT:

﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩﴾

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمۡ فَإِن كَانَ لَكُمۡ فَتۡحٞ مِّنَ ٱللَّهِ قَالُوٓاْ أَلَمۡ نَكُن مَّعَكُمۡ وَإِن كَانَ لِلۡكَٰفِرِينَ نَصِيبٞ قَالُوٓاْ أَلَمۡ نَسۡتَحۡوِذۡ عَلَيۡكُمۡ وَنَمۡنَعۡكُم مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ فَٱللَّهُ يَحۡكُمُ بَيۡنَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا ١٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (wahai orang-orang Mukmin). Maka, jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, mereka berkata, ‘Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?’ Dan jika orang-orang kafir mendapat keberuntungan (kemenangan), mereka berkata, ‘Bukankah kami turut memenangkanmu dan membela kamu daripada orang-orang Mukmin?’ Maka, Allah akan memberikan keputusan antara kamu pada Hari Kiamat; dan Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk mengatasi orang-orang yang beriman.” [Surah al-Nisa’: 141]

Terpenting bagi golongan munafiq itu mendapat jawatan dalam kerajaan tanpa mengira siapa yang berkuasa.

Golongan munafiq juga mengejek orang miskin beriman yang memberikan sumbangan derma yang sedikit, tetapi ikhlas mengikut kemampuan. Mereka percaya kepada kelebihan perjuangan Islam walaupun dengan sumbangan yang terlalu kecil. Firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ يَلۡمِزُونَ ٱلۡمُطَّوِّعِينَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فِي ٱلصَّدَقَٰتِ وَٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهۡدَهُمۡ فَيَسۡخَرُونَ مِنۡهُمۡ سَخِرَ ٱللَّهُ مِنۡهُمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ٧٩ ٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ أَوۡ لَا تَسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ إِن تَسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ سَبۡعِينَ مَرَّةٗ فَلَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَهُمۡۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَفَرُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٨٠﴾

“(Orang-orang munafiq) iaitu orang-orang yang mencela orang-orang Mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupan mereka. Maka, orang-orang munafiq itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih. (79) Kamu memohon keampunan bagi mereka atau tidak kamu memohon keampunan bagi mereka (adalah sama sahaja). Kendatipun kamu memohon keampunan bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberikan pengampunan kepada mereka. Yang demikian itu adalah kerana mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasiq. (80)” [Surah al-Tawbah: 79–80]

Golongan munafiq mengejek dengan lisan, tulisan, lukisan (karikatur), dan sebagainya kerana melakukan penghinaan terhadap mereka yang berjuang menegakkan Islam sebagai pengemis yang hina meminta sedekah.

Termasuk juga dalam kalangan mereka ialah yang menyusahkan sumbangan kepada umat Islam dengan berbagai-bagai kerenah sekatan, sepertimana yang berlaku pada hari ini terhadap NGO yang menyumbang kepada Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Yahudi Zionis. Bukan kerana salah laku, tetapi kerana beberapa kesilapan teknikal yang tidak merosakkan niat, dasar, dan sasarannya. Sepatutnya, urusan mereka dipermudah dan kesilapan teknikal itu diperbetul.

Allah SWT berfirman:

﴿قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا ١٠٣ ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا ١٠٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَزۡنٗا ١٠٥﴾

“Katakanlah, ‘Apakah akan Kami beritahu kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatan mereka?’ (103) Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. (104) Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada Hari Kiamat. (105)” [Surah al-Kahf: 103–105]

Imam al-Bukhari dan Muslim RH meriwayatkan dalam kitab Sahih mereka mengenai satu kisah umat nabi terdahulu yang disebut oleh Rasulullah SAW:

Seorang dermawan menyumbang dengan ikhlas secara bersembunyi. Tiba-tiba, si dermawan itu tersilap bersedekah kepada seseorang yang kaya. Lalu orang yang mengetahuinya mengejek dengan mengatakan bahawa sumbangannya tidak berguna kerana bersedekah kepada orang kaya.

Maka, si dermawan itu mengulangi sumbangannya pada masa yang lain. Tiba-tiba, dia tersilap bersedekah lagi kepada seorang pencuri. Lalu orang yang mengetahuinya mengejek dengan mengatakan bahawa sumbangannya tidak berguna kerana bersedekah kepada pencuri.

Maka, si dermawan itu mengulangi lagi sumbangannya pada masa yang lain. Tiba-tiba, sekali lagi dia tersilap bersedekah kepada seorang perempuan pelacur pula. Lalu orang yang mengetahuinya turut mengejek dengan mengatakan bahawa sumbangannya tidak berguna kerana bersedekah kepada pelacur.

Namun, akhirnya, Allah menunjukkan keberkatan ikhlas si dermawan tersebut. Tiba-tiba, si kaya itu insaf dan menjadi pemurah kerana selama ini dia bakhil walaupun berharta. Kemudian, si pencuri juga insaf lalu meninggalkan amalan mencuri dan bertaubat. Begitu juga dengan si perempuan pelacur yang turut insaf dan bertaubat.

[Mafhum kisah di atas diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakah, No. 1421, dan Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, No. 1022, daripada Abu Hurairah]

Demikianlah kisah benar daripada keberkatan keikhlasan yang mengubah kemungkaran menjadi sesuatu yang ditinggalkan. Berkat ialah istilah yang asing daripada ideologi ciptaan manusia.

Oleh itu, Allah SWT menggalakkan orang-orang yang beriman dengan firman-Nya:

﴿… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢﴾

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam (mengerjakan) dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦﴾

“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahi mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu. Maka, Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” [Surah al-A‘raf: 96]

Rasulullah SAW menegur sahabat kesayangannya, Abu Zar RA apabila beliau menghina seorang sahabat yang lain:

يَا أَبَا ذَرٍّ، أَعَيَّرْتَهُ بِأُمِّهِ؟ إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ، إِخْوَانُكُمْ خَوَلُكُمْ، جَعَلَهُمُ اللهُ تَحْتَ أَيْدِيكُمْ، فَمَنْ كَانَ أَخُوهُ تَحْتَ يَدِهِ ‌فَلْيُطْعِمْهُ ‌مِمَّا ‌يَأْكُلُ، وَلْيُلْبِسْهُ مِمَّا يَلْبَسُ، وَلَا تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ.

“Wahai Abu Zar, adakah kamu menghina dia dengan sebab ibunya (seorang bekas abdi)? Sesungguhnya, kamu ini seorang yang masih mempunyai perangai jahiliah! Kawan kamu itu laksana keluarga kamu. Allah menjadikan mereka di bawah kekuasaan kamu. Oleh itu, apabila kawan itu berada di bawah kekuasaan seseorang, maka berilah kawan itu makanan apa yang dia makan dan berilah kawan itu pakaian apa yang dia pakai. Janganlah kamu membebankan mereka dengan tugas yang berat. Jika kamu tetap menugaskan mereka, maka kamu bantulah mereka.” [al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 30, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Ayman, No. 1661, daripada al-Ma‘rur bin Suwaid. Lafaz bagi al-Bukhari]

Abu Zar RA terus bertaubat dan meminta maaf lalu membuang sifat jahiliah yang ada dalam dirinya.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 22 Jumada al-Ula 1445 / 6 Disember 2023