Home Berita PAS Wilayah

Calon PAS Sempat Hasilkan Buku Sambil Berkempen

587
SHARE

OLEH: RAMIZAH RAHMAD

BATU, 30 April – Sekitar jam 9.30 malam orang ramai sudah membanjiri perkarangan Dataran Peniaga Taman Sri murni untuk menyaksikan majlis pengenalan calon PAS bagi Parlimen Batu iaitu Ustaz Azhar bin Yahya dan pelancaran buku nukilan beliau yang bertajuk “100 Persoalan Puasa”.

Program ini dianjurkan oleh PAS kawasan Batu yang turut menampilkan beberapa orang VIP lain iaitu Ustaz Najhan Shahir bin Abd Halim, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, Ustaz Shafie bin Abd Rahman, Exco Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, dan Dr Hasiba binti Kamaruddin, Exco Ameerah Batu.

Dalam ucapan beliau, Ustaz Azhar menyebut tentang penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran negara dan PAS tampil untuk membaikpulih urus tadbir negara dengan pemerintahan yang telus dan berintegriti.

Ustaz Najhan dalam ucapannya juga menyebut, “GST adalah haram kerana ia sistem cukai yang zalim kepada masyarakat.”

Dalam majlis tersebut juga, Ustaz Shafie sempat mengetuai bacaan zikir munajat ringkas bagi memohon doa dan pertolongan dari Allah SWT dalam PRU kali ini.

Mewakili suara wanita, Dr Hasiba bercakap mengenai keseriusan Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS dalam membina Malaysia sejahtera.

Walaupun hari sudah semakin malam, semakin ramai rakyat setempat yang datang menarik kerusi dan duduk untuk mendengar penerangan dari panelis.

Rakyat yang hadir mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Ustaz Azhar Yahya atas kejayaan beliau menghasilkan buku “100 Persoalan Puasa” sebagai ole – ole menyambut Ramadhan walau dalam kesibukan berkempen.