OLEH : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 24 Mac – Khidmat dan bakti wira di samudera menjaga keselamatan negara sentiasa di hati rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Dikala kita semua bergembira berbuka puasa bersama keluarga di rumah, insan-insan mulia ini bersengkang mata dan bermandi keringat di samudera luas demi menjaga perbatasan perairan negara dari sebarang anasir yang tidak diundang,” ujar Ahli Dewan Negeri YB Dato’ Andansura Rabu di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1), Tanjung Gelang, Kuantan bersama pasukan Iman Care Kuantan.
Tambah beliau, lawatan ini bertujuan menyerahkan juadah bersahur kepada anggota yang bertugas pada malam tersebut serta kuih raya kepada mereka yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga pada Aidilfitri nanti.
“Kami amat menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas tanpa mengenal waktu. Semoga sedikit sumbangan ini dapat menceriakan mereka,” ujar beliau lagi selepas sesi penyerahan juadah.
Sementara itu, wakil Iman Care berkata program seumpama ini menjadi program tahunan mereka bersama Pusat Khidmat DUN Beserah, sebagai satu penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga, kepada wira-wira samudera negara yang setia berkhidmat sepanjang masa.
Rombongan ini juga berkunjung ke Pelabuhan Kuantan, di mana kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berlabuh, bagi menyerahkan bingkisan sama kepada krew kapal KM Pekan yang ditugaskan menjaga perairan sekitar Kuantan.
“Terima kasih kepada para dermawan yang sentiasa mendokong kerja-kerja kebajikan Iman Care. Kami juga mendoakan semua wira-wira negara dari semua agensi sentiasa dalam rahmat dan jagaan Allah serta selamat beribadat di akhir Ramadan,” tambah wakil Iman Care Kuantan lagi.