KUALA TERENGGANU – Sekumpulan pakar psikiatri yang hadir secara sukarela tanpa sebarang bayaran kini menjadi sinar harapan buat para penagih di Pusat Pemulihan Darul Barakah, apabila mereka sanggup turun padang setiap bulan bagi memberi rawatan dan sokongan kesihatan mental kepada para pelatih yang sedang berjuang melawan ketagihan.
Menurut Pengurus Darul Barakah, Alif Mahari, doktor-doktor tersebut terdiri daripada pakar psikiatri dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Hulu Terengganu yang komited membantu atas dasar kemanusiaan.
“Mereka datang bukan sebab gaji, tapi sebab hati.
“Kami tidak membayar mereka walau satu sen pun. Mereka hadir dengan keikhlasan,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosial semalam.
Tambah beliau, walaupun sepatutnya pelatih pusat itu yang dibawa ke hospital, para doktor ini memilih untuk sendiri datang ke pusat pemulihan dengan membawa beg peralatan, stetoskop dan senyuman penuh kasih sayang.
“Setiap bulan mereka meninggalkan rutin hospital untuk merawat pelatih yang mengalami ketagihan dan gangguan mental akibat penyalahgunaan bahan seperti pil kuda, syabu, dadah jenis ‘mushroom’ serta vape campuran E-PAM yang terbukti merosakkan fungsi otak,” jelasnya.
Alif turut menzahirkan penghargaan dan rasa terharunya terhadap usaha luar biasa para doktor tersebut, yang digambarkannya sebagai ‘hero tanpa nama’ dalam suasana sistem kesihatan negara yang kini berdepan tekanan dan beban tugas yang berat.
“Dalam keadaan sistem kesihatan pun sibuk, mereka masih mencari ruang untuk turun ke Darul Barakah. Masya-Allah, ini rahmat, ini nikmat. Jasa mereka terlalu besar untuk didiamkan,” katanya.
Beliau menyifatkan kehadiran para doktor tersebut sebagai cahaya yang menerangi kegelapan buat pelatih-pelatih yang sedang mencari jalan keluar dari ketagihan, dan mendoakan agar segala kebaikan mereka dibalas dengan ganjaran tertinggi oleh Allah SWT.