Home Kenyataan Media PAS Wilayah

CADANGAN PILIHANRAYA PBT : AGENDA APA YANG DAP MAINKAN?

110
SHARE

PAS Wilayah Persekutuan membantah keras cadangan Ketua DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai yang menggesa pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara dilaksanakan dalam usaha menegakkan demokrasi. Tan Kok Wai dalam satu kenyataan menyatakan pelaksanaan pilihan raya PBT akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.

PAS WP menegaskan, dalam sistem pilihanraya di dalam negara ini, pemilihan wakil Dewan Rakyat bagi memilih Ahli Parlimen telah dilaksanakan semenjak tahun 1955. Manakala negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan telah ada Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pemilihan wakil bagi DUN. Di WP, kesemua 13 Ahli Parlimen sudah memadai sebagai wakil rakyat dan menjaga kawasan masing-masing.

Tidak cukup demokrasi kah bagi Tan Kok Wai dan DAP dengan sistem pilihanraya yang sedia ada sehingga mahu mengadakan pilihanraya PBT pula?

Berapa banyak kerusi lagi DAP hendak menang di WP sehingga mahu pula kepada pilihanraya BPT?.

Berapa pula kos perbelanjaan bagi menampung pilihanraya PBT jika ia diadakan kelak?

Berapa banyak kali rakyat perlu turun dalam pilihanraya dan berpolitik hanya semata-mata memenuhi nafsu DAP?

Sebelum PRU ke 15, Wilayah Persekutuan mempunyai seorang Menteri Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas seluruh jajahan Parlimen di Wilayah Persekutuan. Menteri WP dibantu pula oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. Datuk Bandar merupakan ketua bagi kerajaan tempatan di Wilayah Persekutuan yang berperanan mengetuai pentadbiran dan pengurusan pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pasca PRU ke 15 pula, portfolio WP di bawah seliaan Perdana Menteri sendiri dan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan. Rombakan Kabinet pada 12 Disember 2023 yang lalu meletakkan YB Dr. Zaliha binti Mustafa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Justeru, bagi PAS pelantikan seorang menteri yang bertanggungjawab khusus bagi Wilayah Persekutuan sudah cukup meskipun tidak sebaik seperti sebelum PRU ke 15 dahulu.

Selain itu, penubuhan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) semenjak tahun 2011 bertujuan membantu kecekapan penyampaian perkhidmatan secara berterusan di samping melaksanakan program-program kemasyarakatan dan modal insan di kawasan pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Fungsi MPP ini merupakan salah satu mekanisme penghubung di antara Kerajaan dan komuniti setempat. Fungsi Ahli PBT telahpun dilaksanakan dengan jayanya oleh MPP sejak penubuhannya.

Ahli-ahli Parlimen di WP boleh berperanan aktif dalam menyampaikan suara mereka. Bahkan mereka juga menjadi penasihat kepada MPP di parlimen masing-masing serta menjadi penghubung antara wakil rakyat dengan rakyat.

Lebih dari itu, PAS menganggap cadangan Tan Kok Wai sangat berbahaya. Ini kerana pecahan populasi mengikut kaum tidak seimbang khususnya di Wilayah Persekutuan. Apa yang dibimbangkan jika pilihanraya PBT diadakan akan berlaku monopoli kaum khususnya kaum Cina dalam menguasai kerusi PBT di Kuala Lumpur. Buktinya, Parlimen Kepong, Seputeh, Cheras, Bukit Bintang, Segambut, dikuasai oleh DAP manakala kerusi Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak adalah kawasan campuran yang majoritinya dikuasai oleh kaum selain Melayu.

PAS WP tidak bercakap mengenai soal rasis (perkauman), tetapi apakah jaminan bahawa orang Melayu dapat kerusi dan suara majoriti bagi memastikan hak dan keistimewaan Agama Islam dan Bangsa Melayu dipertahankan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. PAS WP merasa musykil agenda apakah yang DAP mainkan dengan cadangan seperti itu.

Dengan kesemua fakta di atas, PAS WP menganggap kerajaan perlu melihat jauh ke depan dan menolak cadangan Tan Kok Wai itu. Idea beliau dilihat sudah tepu, dangkal, sangat tidak relevan dan realistik dengan keadaan semasa. Sebaliknya, jika DAP mahu menegakkan demokrasi, adalah lebih baik Tan Kok Wai memperkemaskan partinya dan Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu yang kononnya mendukung “Kerajaan Perpaduan” sebelum melontarkan idea yang mampu mencetuskan ketegangan Dan perpecahan seperti itu.

 

USTAZ HAJI AZHAR BIN YAHYA

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan