Home Minda Presiden

Cadangan memansuhkan pencen penjawat awam tidak mengenang budi

77
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 13 / 2024]

CADANGAN MEMANSUHKAN PENCEN PENJAWAT AWAM TIDAK MENGENANG BUDI


Berita yang melaporkan cadangan pemansuhan pencen bagi penjawat awam baharu menjadi isu terkini yang perlu diberikan perhatian dan teguran. Ucapan saya di Parlimen berkenaannya dirasakan tidak mencukupi disebabkan masa yang terhad.

Sepatutnya perkhidmatan seseorang penjawat awam itu dinilai dari segi jasanya bukan dari aspek penilaian kewangan sahaja. Jasa perkhidmatan penjawat awam kepada negara dan masyarakat tidak boleh dipandang remeh dan dinilai dengan aspek perbelanjaan sahaja kerana ia berkait dengan amal soleh, jasa dan budi yang tidak dapat diletakkan dengan harga bayaran duit terhadap jasanya kepada agama, rakyat dan negara.

Sehinggakan, perkara ini disebutkan dalam pantun Melayu yang terkenal sejak zaman dahulu:

Pulau Pandan jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga,

Hancur badan dikandung tanah,

Budi yang baik dikenang juga.

Betapa budi yang baik dikenang sehingga selepas mati. Allah memberikan pahala yang tidak putus terhadap kebajikan yang berpanjangan, walaupun orang yang beramal itu telah meninggal dunia. Sehinggakan Allah memberi pahala dan rahmat-Nya kepada kalangan yang berlaku baik terhadap binatang sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW. Bahkan, Allah juga memberikan pahala kepada seseorang yang berlaku baik terhadap anjing liar yang dahaga.

Walaupun seseorang penjawat awam itu telah dibayar gajinya semasa tempoh berkhidmat, tetapi kesan jasanya adalah berterusan kepada masyarakat umum yang perlu dikenang dan dinilai.

Maka, cadangan untuk menghapuskan pencen bagi penjawat awam baharu merupakan tindakan yang berlawanan dengan teladan Rasulullah SAW ketika Baginda memerintah negara Madinah, suatu model masyarakat madani yang sebenar sehingga menjadi jenama dalam ilmu sosiologi. Teladan yang sama diikuti oleh para Khulafa’ al-Rasyidin RA dan raja-raja Islam yang adil selepasnya dengan penambahbaikan bagi melaksanakan maqasid al-syari‘ah dan siasah syar‘iyyah. Ia adalah sebahagian daripada Tamadun Islam yang bermula dengan negara Madinah seterusnya telah mempengaruhi Tamadun Barat.

Sistem pentadbiran Barat khususnya pihak British banyak terpengaruh dengan Tamadun Islam melalui kajian para orientalis terhadap ketamadunan Islam, antaranya dalam aspek pentadbiran negara. Akan tetapi, mereka memisahkan roh daripada aspek agama kerana pengaruh sekularisme yang dianutinya.

Rasulullah SAW telah menetapkan peruntukan perbelanjaan kepada mereka yang bertugas kepada negara termasuk Rasulullah SAW sendiri yang turut diambil kira keluarganya berpandukan firman Allah SWT:

﴿۞وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا غَنِمۡتُم مِّن شَيۡءٖ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُۥ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا يَوۡمَ ٱلۡفُرۡقَانِ يَوۡمَ ٱلۡتَقَى ٱلۡجَمۡعَانِۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٤١﴾

“Ketahuilah, sesungguhnya apa sahaja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibn al-sabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) pada Hari al-Furqan, iaitu pada hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah al-Anfal: 41]

Firman Allah SWT:

﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٧﴾

“Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada kalangan penduduk kota-kota, maka ia adalah untuk Allah, Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak beredar dalam kalangan orang-orang kaya antara kamu sahaja. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukumannya.” [Surah al-Hasyr: 7]

Malah, peruntukan juga masih diberikan kepada mereka yang sudah tidak berkhidmat lagi kerana faktor usia atau keuzurannya. Maka diambil daripada sumber kewangan pada zamannya iaitu ghanimah (harta rampasan perang) dan fai’ (harta tanpa peperangan), bukan daripada sumber zakat. Selepas itu ada pula kutipan berupa jizyah, kharaj dan usyur (cukai keselamatan, pertanian dan perniagaan), di samping sumber daripada ibadat harta bagi penganut Islam seperti zakat (pertanian, ternakan, perniagaan, galian dan harta, hadiah, sedekah, dan rikaz iaitu harta terpendam).

Bayaran diberikan sehingga selepas seseorang itu berada pada usia mereka tidak bertugas lagi dan kepada keluarga selepas suaminya meninggal dunia.

Para fuqaha’ menamakannya ato’ (sumbangan) kepada para pemimpin, penjawat awam serta anggota pertahanan dan keselamatan. Sehinggakan ia dipanjangkan kepada rakyat yang telah berusia termasuk bukan Islam.

Para Khulafa’ al-Rasyidin RA meneruskan amalan Rasulullah SAW dengan mengikuti perubahan kehidupan masyarakat yang sentiasa berbeza-beza.

Pada zaman Khalifah Abu Bakar RA, pemberian itu dikenali dengan konsep taswiyah al-ato’ (bayaran yang sama). Pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pula, diperkenalkan taqsim al-ato’ yang digredkan (dikelaskan) mengikut peranan seseorang dan dinilai secara berbeza berdasarkan jasa dan kedudukan tugasnya. Termasuk dalam kalangan Ummahat al-Mukminin (para isteri Rasulullah SAW) dan keluarganya, selepas wafatnya Rasulullah SAW masih diberikan peruntukannya.

Adapun cakap sambil menepuk dada kononnya seseorang itu bertugas dengan menolak gaji merupakan suatu temberang kepura-puraan yang membohongi rakyat.

Almarhum Abu al-Hasan Ali al-Nadwi membahagikan negara kepada dua jenis, iaitu negara hidayah dan negara jibayah.

Pertama, negara hidayah ialah negara berprinsipkan aqidah yang mengutamakan kebajikan mengikut perintah Allah. Ia sedia berkorban walaupun mempunyai cabaran kewangan kerana percaya kepada janji turunnya keberkatan daripada Allah berpandukan firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦﴾

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” [Surah al-A‘raf: 96]

Kedua, negara jibayah (bergantung kepada cukai) berprinsipkan kebendaan yang menjadi pegangan teori sekularisme dengan memisahkan politik daripada agama. Oleh itu, tindakannya adalah berdasarkan kepada kepercayaan kepada kebendaan. Maka, kepentingan kebendaan diutamakan sehingga cukai dianggap nyawa kerajaan.

Rasulullah SAW bersabda kepada sahabatnya, ‘Adi bin Hatim al-Ta’i RA iaitu seorang yang pernah menjadi paderi sebelum akhirnya memeluk Islam:

أَنَّهُ ‌مَا ‌يَمْنَعُكَ ‌أَنْ ‌تُسْلِمَ ‌خَصَاصةٌ تراها مِنْ حَوْلِي … وَلَيَفِيضَنَّ الْمَالُ حَتَّى يُهِمَّ الرَّجُلَ مَنْ يَقْبَلُ مِنْهُ مَالَهُ صَدَقَةً.

“Aku tahu bahawa kamu merasa takut untuk bersama Islam kerana kamu melihat kemiskinan yang ada di sekelilingku. (Percayalah akan tiba masanya keberkatan bersama Islam) akan menambahkan kewangan negara dalam keadaan melimpah-ruah, sehingga melebihi keperluan dan tidak cukup penerima bantuan.” [Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, Jld. 15, Hlm. 72]

Akhirnya, ‘Adi bin Hatim RA memeluk Islam dan menyaksikan kebenarannya pada zaman Khalifah ‘Umar RA apabila Islam berjaya memerintah wilayah Parsi dan Rom yang zalim, sehingga kedatangan Islam dinamakan penyelamat (futuhat) bukan penjajah kerana melakukan perubahan yang sangat adil.

Berlaku pada zaman Khalifah ‘Umar RA, selepas memerintah wilayah Rom dan Parsi yang mengalami kekalahan, bertambah kewangan negara-negara tersebut hasil daripada ibadat harta (zakat, wakaf, rikaz dan sedekah) daripada kalangan penganut Islam dan daripada kalangan bukan Islam yang menjadi rakyat hasil bayaran jizyah (cukai keselamatan), kharaj (cukai pertanian) dan usyur (cukai perniagaan). Keadaan ini sekali gus menyebabkan bertambahnya hasil kewangan negara sehingga dibayar ato’ (pencen) kepada rakyat dalam kalangan warga tua dan uzur termasuk kalangan bukan Islam.

Apabila Khalifah ‘Umar RA menemui seorang rakyat penganut Yahudi bukan Islam warga tua meminta sedekah terus merintih:

مَا أَنْصَفْنَاكَ، أَنْ كُنَّا أَخَذْنَا مِنْكَ الْجِزْيَةَ فِي شَبِيبَتِكَ، ‌ثُمَّ ‌ضَيَّعْنَاكَ ‌فِي ‌كِبَرِكَ.

“Sangatlah kami tidak bersikap wajar terhadapmu, pada masa kamu muda dan sihat diambil cukai (jizyah), kemudian ketika kamu sudah tua dan uzur lalu kamu dibiarkan sahaja.” [Ibn Qayyim al-Jawziyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, Hlm. 144]

Lalu Khalifah ‘Umar RA mengarahkan diberikan bayaran tetap kepadanya dari sumber Bait al-Mal dan Khalifah juga memerintahkan supaya ditetapkan peruntukan sara hidupnya. Kisah ini ada disebutkan oleh Abu ‘Ubaid RH dalam kitab al-Amwal (Hlm. 56 dan no. 119) dan juga Imam al-Suyuti RH dalam kitab al-Jami‘ al-Kabir (Jld. 16, Hlm. 276).

Keadaan kewangan lebih bertambah lagi pada zaman Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz RA. Sehinggakan, kisah mengenainya disebutkan oleh salah seorang pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) semasa berkawan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dahulu. Pada zaman Khalifah ‘Umar bin Abd al-‘Aziz RA, harta melimpah-ruah sehingga hasil kewangan berlebihan.

Justeru, cadangan menghapuskan pencen adalah berlawanan dengan slogan Madani yang diucapkan tanpa pengetahuan, laksana burung kakak tua dan burung tiung yang boleh bercakap tanpa akal.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 11 Mac 2024 / 30 Sya‘ban 1445