Home Berita PAS Terengganu

Cabaran OKU : Masyarakat perlu ubah persepsi

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) masih berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian, termasuk stigma masyarakat yang agak negatif kepada golongan ini.

Menurut Atlet Parasukma Terengganu, Norhaslina Suria Mohamed berkata, stigma dan persepsi yang salah terhadap golongan OKU masih menebal dalam masyarakat.

“Ada yang menganggap mereka sebagai beban dan tidak mampu berdikari, walhal realitinya ramai dalam kalangan mereka mempunyai pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi serta sosial negara.

“OKU bukan beban tetapi anugerah yang perlu dihargai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Peranan wanita kepada OKU di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini.

Selain itu, akses kepada pendidikan dan pekerjaan juga menjadi cabaran utama yang mana tidak semua sekolah dan universiti di Malaysia menyediakan kemudahan pembelajaran inklusif untuk OKU.

Katanya, di dunia pekerjaan, masih ada majikan yang takut untuk mengambil pekerja OKU kerana beranggapan mereka memerlukan bantuan khas dan hakikatnya, ramai pekerja OKU menunjukkan prestasi lebih tekun dan cekap berbanding pekerja biasa.

”Dari segi infrastruktur, kemudahan awam yang tidak mesra OKU turut menyukarkan pergerakan mereka.

“Bayangkan berjalan di kaki lima yang tidak rata atau menaiki pengangkutan awam dengan tongkat.

“Jika orang biasa pun boleh jatuh, apatah lagi individu yang bergantung kepada kerusi roda,” ujarnya.

Selain itujelasnya, cabaran lain dihadapi oleh golongan ini ialah kurangnya sokongan sosial, terutamanya dalam kalangan keluarga sendiri di mana ada ibu bapa yang malu untuk mengakui bahawa anak mereka adalah OKU.

“Kesedaran dan pendidikan masyarakat juga perlu dipertingkatkan. Ramai yang masih kurang ilmu mengenai keperluan dan hak OKU serta menganggap semua OKU memerlukan bantuan sama, sedangkan keperluan mereka berbeza mengikut kategori,” kata Norhaslina.

Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat dapat membina sebuah komuniti lebih inklusif dan prihatin dengan menghargai keunikan serta bakat yang dimiliki oleh golongan ini.

“Golongan OKU bukan untuk dikasihani, tetapi mahu difahami dan diberikan peluang yang adil dalam kehidupan.

“Dengan kesedaran dan empati yang lebih tinggi, masyarakat boleh memainkan peranan dalam memperkaya kehidupan semua lapisan dengan kepelbagaian bakat dan potensi,” tambahnya lagi.