Home Berita PAS Pahang

Busy body membawa rahmat kepada golongan asnaf

147
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 31 Mac – Sikap busy body sering dikaitkan dengan tanggapan negatif, namun di Beserah, ia menjadi pemangkin kepada kebajikan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri Beserah YB Dato’ Andansura Rabu menekankan bahawa sikap prihatin dan ingin tahu dalam kalangan muslimat PAS Beserah memainkan peranan penting dalam mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Tidak semua busy body itu buruk, kerana sikap mengambil tahu permasalahan masyarakat, dapat mengumpul maklumat yang membolehkan mereka menyampaikan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesempitan hidup.

“Dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar, kepekaan dalam mengenal pasti individu yang berada dalam kesusahan dapat memastikan bantuan sampai tepat kepada mereka yang layak, sikap ini, jika disertai dengan niat yang baik, menjadi satu bentuk empati sosial yang wajar diterapkan dalam masyarakat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan keperluan barangan dapur dan sumbangan tunai kepada lebih 40 orang asnaf sekitar Beserah di Taman Beserah di sini kelmarin.

Menurut beliau barangan keperluan ini adalah hasil sumbangan dari orang ramai di bawah Pengurusan Gerobok Rezeki Surau Taman Beserah.

Sementara itu Pengurus Gerobok Rezeki Asmah Awang berkata usaha untuk membantu golongan asnaf telah berjalan selama empat tahun bermula dari krisis pandemik Covid-19 sehingga sekarang dan berharap agar masyarakat terus menyumbang bagi membantu mereka yang memerlukan.