Home Berita PAS Terengganu

Bukit Tok Salai Sungai Nerus, destinasi terbaharu penggemar ‘Hiking’

3459
SHARE

KUALA NERUS – Bukit Tok Salai Sungai Nerus (BTSSN) kini menarik perhatian pengunjung tempatan sebagai destinasi baharu bagi penggemar aktiviti mendaki bukit di Negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, lokasi tersebut mempunyai masa depan cerah sebagai tarikan rekreasi secara tidak langsung memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Kampung Kesom Che Nordin ini kawasan sekitarnya.

“Bukit berketinggian 160 meter dari paras laut itu bakal menjadi terkenal bagi penggemar aktiviti ‘hiking’ dan mereka yang baru menyahut cabaran pendakian.

“Ini terbukti dengan kehadiran mencecah ribuan pengunjung dalam satu-satu masa walaupun baru sahaja dibuka orang awam sejak pertengahan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah Merdeka Photo Contest Bukit Tok Salai di kaki Bukit Tok Salai, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pendakian ke puncak bukit mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit sahaja, sesuai didaki oleh semua lapisan masyarakat.

“Bila sudah terkenal, sudah tentu diikuti dengan pembangunan dari segi infrastruktur dan prasarana bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung, saya percaya akan terus bertambah dan bertambah akan datang.

“Aktiviti jual beli akan menjadi lebih rancak kerana keperluan makanan, minuman dan cenderahati, membuka peluang kepada penduduk setempat untuk berniaga,” jelasnya.

Tambah Ridzuan, beliau turut melahirkan rasa syukur dengan pencapaian dan kerjasama dikalangan warga komuniti yang bersemangat tinggi menggembleng tenaga bagi memajukan projek tersebut.

“Syabas dan tahniah kepada Kampung Kesom Che Nordin khususnya peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan penduduk dan semua pihak yang terlibat dalam memajukan kawasan ini,” katanya lagi.