Home Minda Presiden

Buaya Sudah Menyentuh Umpan, Tunggu Masa Menyentap Kail

754
SHARE

Minda Presiden PAS

BUAYA SUDAH MENYENTUH UMPAN, TUNGGU MASA MENYENTAP KAIL


Saya tidak menyangka tulisan saya berkenaan kedudukan Islam dalam Perlembagaan menjadi pancing yang dimakan umpannya.

Benar sungguh pepatah Melayu yang tidak patut dilupakan oleh Melayu yang mudah lupa:

“Air yang tenang,  jangan disangka tiada buaya.”

Apatah lagi binatang yang cerdik, pintar lagi ganas, sudah tentu sukar untuk dipancing. Namun, binatang yang paling cerdik seperti sang kancil akhirnya masuk perangkap juga. Bahkan sebesar-besar dan segagah-gagah binatang seperti gajah pun dapat ditangkap.

Begitulah juga seganas-ganas binatang seperti singa pun manusia tahu cara untuk menangkapnya, sehingga dipenjarakan di dalam zoo atau dijadikan binatang untuk pertunjukan sarkas sebagai tontonan bagi mendapatkan duit.

Maka buaya yang ganas akhirnya dapat ditangkap walaupun bijak berselindung di bawah permukaan air yang paling tenang yang disangka tiada buaya.

Buaya itu muncul atas nama tokoh-tokoh liberal, media dan NGO sehingga mengocak ketenangan hakim dan mahkamah.

Bukan mudah untuk mendedahkan kebenaran tentang seseorang penyokong dan pembela makhluk di luar tabii, kerana ia adalah suatu sifat yang sangat memalukan.

Binatang pun banyak yang tidak melakukan perkara yang paling luar biasa dalam kalangan makhluk di alam yang luas dan paling majmuk ini. Hanya segelintir manusia sahaja yang melakukan perbuatan makhluk di luar tabii.

Bahkan sebahagian dalam kalangan bukan Islam juga tidak mahu menjadi peminat kepada golongan terkutuk itu, kerana semua agama yang mempunyai kitab menentang amalan luar tabii. Maka, tidak sepatutnya dalam kalangan penganut Islam menjadi peminatnya.

Begitulah susahnya untuk seseorang manusia itu melakukan perkara di luar tabii. Maka, sudah tentu bukan mudah untuk menzahirkan seseorang yang dianggap bijak boleh menjadi pembela kepada makhluk di luar tabii. Justeru, betapa sukarnya untuk mengail manusia yang bersifat laksana buaya yang ganas dan dianggap cerdik.

Namun, kini perkara terebut sudah menjadi kebiasaan, termasuklah Malaysia hari ini, kerana kita berada di dunia yang sudah terlalu melampau dalam menuntut kebebasan. Sehingga kebebasan yang berada di luar tabii juga dituntut, laksana pemandu kereta di jalan yang sibuk. Atas nama kebebasan, ada pemandu yang memacu dengan  melampaui tahap kelajuan. Bahkan mereka bersedia melanggar lampu isyarat dan bersedia menempah kemalangan yang membunuh diri mereka sendiri.

Tambahan pula, hari ini kita berada pada zaman manusia memperjuangkan hak asasi binatang secara lebih gigih dibandingkan daripada hak asasi manusia itu sendiri.

Maka, tidaklah patut Malaysia hari ini ada orang seperti itu, kerana sebahagian besar daripada masyarakat negara ini masih beragama, dan semua agama masih mempunyai fitrah kemanusiaannya. Inilah hikmah konsep kebebasan beragama yang dicatatkan dalam Perlembagaan Persekutuan, bukannya kebebasan berasaskan konsep liberalisme yang tidak beragama.

Maka, sungguh benar firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah); dan mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah); dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-Ma’idah: 179)

Betapa jijiknya manusia yang bersifat luar tabii, sehingga al-Quran membawakan wahyu yang menceritakan tentang peristiwa yang benar berlaku, apabila Allah SWT mengutuskan seorang Rasul bernama Nabi Lut AS.

Firman Allah SWT:

﴿وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ٨٠ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ٨١﴾

“Dan Nabi Lut juga (yang Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kalian melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini yang mendahului kalian? (80); Sesungguhnya kalian mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kalian dengan meninggalkan perempuan, bahkan kalian ini adalah kaum yang melampaui batas.’ (81).” (Surah al-A’raf : 80-81)

Kesan bencana yang menimpa ke atas kaum Nabi Lut AS, telah meninggalkan laut yang dinamakan dengan Laut Mati dan peristiwa yang menyaksikan Allah SWT menenggelamkan sebuah negara yang dinamakan dengan negara Sodom.

Maka, munasabah kelakuannya dinamakan oleh bahasa Barat dengan perkataan ‘sodomy’. Tidak sepatutnya digunakan perkataan liwat yang dikaitkan dengan nabi yang mulia, Nabi Lut AS.

Rasulullah SAW memberikan amaran kepada umatnya bagi mencegah daripada berlakunya kemungkaran yang dahsyat ini, melalui sabdanya:

لَعَنَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بالنِّسَاءِ، والمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بالرِّجَالِ.

“Rasulullah SAW telah melaknat para lelaki yang berlagak menyerupai wanita dan para wanita yang berlagak menyerupai lelaki.” (Riwayat al-Bukhari 5885)

Laknat Rasulullah SAW itu bermaksud bencana terhadap kehidupan manusia di dunia dan dan kelak akan diseksa selepas meninggal dunia.

Kejadian yang menyebabkan merebaknya virus HIV yang lebih bahaya daripada wabak Covid-19 sudah cukup memberikan iktibar. Akan tetapi, begitulah perangai manusia dan bangsa yang mudah lupa.

Walaupun penularan Covid-19 telah dikatakan bermula daripada jangkitan binatang yang melakukan amalannya, tetapi terdapat manusia yang lebih parah kebodohannya daripada binatang.

Kita sedang menyaksikan tanda-tanda merudumnya tamadun Barat yang dianggap maju. Bermula dengan keruntuhan moral kemanusiaan dan hilangnya jati diri manusia yang sebenar, kemudian diikuti dengan berlakunya kezaliman yang mengganas.

Al-Quran menceritakan peristiwa benar yang akan berulang sepanjang zaman, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ٧ الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ٨ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ٩ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ١٠ الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ١١ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ١٤﴾

“(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau memperhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum ‘Aad (yang kufur derhaka). (6); Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). (7); (Bangunan) Yang belum pernah diciptakan sepertinya (saiz binaan yang besar dan kukuhnya) di semua negeri (pada zamannya)? (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi al-Qura iaitu tempat tinggalnya)? (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). (11); Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12); Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab. (13); Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan pada Hari Akhirat). (14).” (Surah al-Fajr: 6-14)

Begitulah Allah SWT menamatkan ajal negara bertamadun yang terawal dengan menjelaskan bagi setiap manusia itu ajalnya dan kelak akan wujud suatu kehidupan yang lain.

Apa yang penting manusia yang berakal itu janganlah merosakkan diri sendiri, sehingga mereka menjadi laksana kelekatu dan serangga menerkam ke arah api yang membakar mereka.

Saya sedang menunggu kail dimakan lebih dalam dan ditelan lebih ke dalam untuk menyentapnya. Ini bukanlah mencabar mana-mana pihak, tetapi hanya sekadar memberi peringatan kepada mereka yang masih berakal budi.

Firman Allah SWT:

﴿قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُمْ بِوَاحِدَةٍ أَنْ تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَى وَفُرَادَى ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا مَا بِصَاحِبِكُمْ مِنْ جِنَّةٍ  إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَكُمْ بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ٤٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku hanyalah mengajar dan menasihati kalian dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kalian bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kalian berfikir dengan cara paling matang (untuk mengetahui salah dan benarnya ajaran-Ku).’ Sebenarnya tidak terdapat pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kalian sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh);d ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kalian, sebelum kalian ditimpa azab yang berat (pada Hari Akhirat). (Surah Saba’: 46)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Rajab 1442 / 9 Mac 2021